Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
POLITIK

Bersatu lancar inisiatif BERSATU Infaq, usaha tampung kos pentadbiran selepas akaun dibeku

Seth Akmal 17/08/2025 | 04:25 MYT
Muhyiddin berkata, langkah itu digerakkan selepas akaun rasmi Bersatu dibekukan pihak berkuasa pada Januari 2023. - Foto Facebook/Muhyiddin Yassin
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini melancarkan inisiatif BERSATU Infaq, satu usaha mengumpul sumbangan bagi menampung sebahagian kos pengurusan dan pentadbiran parti di semua peringkat, susulan pembekuan akaun rasmi parti oleh pihak berkuasa sejak Januari 2023.


Ringkasan AI
  • Bersatu lancar BERSATU Infaq di Tambun untuk tampung kos pentadbiran parti susulan akaun rasmi dibekukan sejak Januari 2023.
  • Muhyiddin tegaskan tiada sumbangan masuk ke akaun peribadi, semua dana diaudit dan diluluskan dalam PAT serta diserah kepada ROS setiap tahun.
  • SPRM siasat dakwaan salah laku lebih RM300 juta, akaun Bersatu disita pada April 2023 di bawah Akta AMLATFPUAA.


Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelancaran ini adalah langkah proaktif untuk memastikan kelangsungan operasi parti, sambil menegaskan bahawa tiada pertuduhan dikenakan terhadap Bersatu sebagai entiti.

“Tuduhan hanya dikenakan terhadap saya atas motif politik. Semua sumbangan tidak pernah masuk ke akaun peribadi saya,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi.

Muhyiddin menjelaskan bahawa semua sumbangan yang diterima dimasukkan ke akaun rasmi parti, telah diaudit, dibentangkan dan diluluskan dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT), serta diserahkan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) setiap tahun tanpa sebarang isu.

Beliau turut memaklumkan bahawa Bersatu telah mencabar pembekuan akaun tersebut di mahkamah agar ia dapat dilepaskan dan digunakan semula untuk tujuan pentadbiran parti.

Pelancaran BERSATU Infaq diadakan di Tambun dan dihadiri barisan kepimpinan utama termasuk Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ketua Penerangan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, Ketua Srikandi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Srikandi Muda, Nurul Ezzati Azmi dan Ketua Bersekutu, Dr Chong Fat Full.

Muhyiddin berharap program ini mendapat sokongan bukan sahaja daripada ahli parti, malah masyarakat umum yang percaya kepada perjuangan Bersatu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, sebelum ini menjelaskan bahawa pembekuan akaun dilakukan bagi membolehkan siasatan terhadap dakwaan salah laku melibatkan lebih RM300 juta.

Pada April 2023, akaun Bersatu disita selepas SPRM mengemukakan perintah di bawah Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank.




#Muhyiddin Yassin #PPBM #AMLATFPUAA #pengubahan wang haram