PETALING JAYA: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan parti itu sedang menjalinkan hubungan rapat dengan Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, tuduhan tersebut adalah tidak berasas dan sengaja dimainkan bagi menjejaskan keharmonian dalam parti serta hubungan antara parti komponen Perikatan Nasional (PN).
Advertisement
"Perkara tersebut tidak pernah dibincangkan di mana-mana peringkat parti termasuk dalam Majlis Pimpinan Tertinggi yang menentukan dasar dan hala tuju parti.
"Bersatu mempunyai prinsip perjuangan yang jelas dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara serta membela kebajikan rakyat.
"Kerjasama Bersatu dengan mana-mana parti lain adalah berpandukan prinsip yang jelas ini," ujar Muhyiddin dalam satu kenyataan di Facebook pada Isnin.
Tegasnya, berdasarkan prinsip tersebut, Bersatu mengasaskan PN bersama Pas sebelum disertai Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) dan Malaysian Indian People’s Party (MIPP).
"Perikatan Nasional adalah wadah terbaik untuk Bersatu merealisasikan perjuangannya dan parti Bersatu tidak pernah berganjak daripada pendirian ini.
"Fokus Bersatu pada masa ini adalah untuk memperkukuhkan parti dan memperkuatkan PN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16)," jelasnya.