IPOH: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak dijangka melakukan penstrukturan semula melibatkan beberapa bahagian susulan peletakan jawatan ketua serta ahli jawatankuasa di peringkat tersebut.
Ketua Penerangan Bersatu Perak, Datuk Azhar Anuar memaklumkan, pasukan petugas khas parti telah mengenal pasti bahagian-bahagian terkesan, termasuk satu bahagian yang menyaksikan ketuanya dipecat.
Advertisement
Beliau berkata, watikah pelantikan bagi barisan kepimpinan baharu di bahagian terlibat akan diserahkan dalam masa terdekat kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Tindakan yang diambil ini selaras dengan peruntukan dalam perlembagaan parti,” jelasnya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli Bersatu yang kekal setia dan bersedia memikul amanah untuk memperkukuh jentera parti di peringkat bahagian.
Sebelum ini, Bersatu Bahagian Larut, Padang Rengas, Tapah dan Gopeng mengumumkan pembubaran masing-masing susulan kemelut dalaman yang melanda parti berkenaan.
Pada masa sama, empat wakil rakyat merangkumi tiga Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta empat ketua bahagian Bersatu dari Perak menerima surat pemecatan daripada parti tersebut.