KUALA TERENGGANU: Pindaan terhadap perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dibuat dalam masa terdekat menerusi Perhimpunan Agung Khas yang akan diadakan nanti, kata Ketua Penerangannya, Datuk Razali Idris.

Razali berkata, pindaan itu bagi memastikan ahli parti yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan perlu mengosongkan kerusi Parlimen disandang sekali gus membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

"Pada mesyuarat malam tadi, kita berbincang untuk buat suatu pindaan perlembagaan parti Bersatu susulan tindakan Ahli Parlimen Tanjong Karang (Datuk Zulkafperi Hanapi) mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Semua orang tahu Bersatu ini parti baharu dan ada kekurangan dalam parti. Jadi, kita tak mampu kekang ahli-ahli Parlimen dari Bersatu untuk sokong (Perdana Menteri)...mereka ini masih setia pada parti tapi sokong pihak lawan.

"Kita juga tak ada akta untuk kosongkan kerusi Parlimen maka malam tadi kita bincang untuk pinda perlembagaan parti. Jadi, Perhimpunan Agung Khas akan diadakan dalam masa terdekat ini hanya untuk meminda perlembagaan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Libat Urus Bersama Nelayan di Akademi Perikanan Malaysia dekat sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Razali menyatakan pindaan itu juga dapat memberi tindakan undang-undang kepada wakil rakyat yang melakukan khianat terhadap parti.

"Ini disebabkan enam ahli Parlimen yang nyatakan sokongan itu masih setia menjadi ahli Bersatu.

"Apabila perlembagaan itu sudah dipinda maka kerusi yang mereka sandang itu akan dikosongkan dan kita lawan masa pilihan raya nanti," jelasnya.

Sementara itu, Razali berkata, beliau menafikan parti itu kini terbahagi kepada dua kumpulan iaitu ‘Kem Presiden’ dan ‘Kem Setiausaha Agung’.

Katanya, dakwaan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin akan digantikan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) adalah tidak berasas sama sekali.

"Ia hanyalah suatu fitnah sengaja untuk melaga-lagakan ahli parti dalam Bersatu. Perkara itu tidak wujud malah Azmin dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor.

"Jadi kita minta mereka yang buat spekulasi itu hentikanlah perbuatan sedemikian. Sepatutnya beri tumpuan pada pembangunan dan pemulihan ekonomi negara," ulasnya.

Sebelum ini, Razali menyatakan pindaan terhadap perlembagaan parti menjadi antara agenda utama Mesyuarat MPT Parti Bersatu yang berlangsung pada malam Ahad.

Razali berkata, ia susulan tindakan segelintir ahli Parlimen yang dilihat menguji keras parti itu, termasuk tindakan terbaharu Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan Zulkafperi yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri dilihat semakin melemahkan Bersatu.

Zulkafperi menjadi individu keenam daripada Bersatu berbuat sedemikian selepas Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Susulan kejadian terbabit, Syed Abu Hussin Hafiz yang sebelum ini turut melakukan perkara sama telah mengesahkan 10 lagi ahli Bersatu akan mengumumkan sokongan terhadap kerajaan menjelang persidangan Dewan Rakyat bermula pada 26 Februari nanti.

Syed Abu Hussin mendakwa, mereka yang terlibat ialah lima ahli Parlimen dari Utara (Kedah, Perak dan Pulau Pinang), tiga dari negeri Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) serta dua dari Selangor dan Melaka. - Sinar Harian