Skip to main content

Politik

Bersatu secara dasar restu dua ADUN Pahang sokong Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 30 Dis -- (GAMBAR FAIL)... Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa 1 Jan 2026.  Ahmad Faizal yang juga Naib Presiden Bersatu itu berkata beliau mengambil maklum keputusan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN dan menghormati bahawa pelantikan beliau ke jawatan itu, adalah atas bidang kuasa pengerusi.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahmad Faizal berkata keputusan itu dibuat bagi menjamin kestabilan politik di Pahang, selain memastikan kebajikan rakyat di kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan terus mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan negeri - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara dasarnya menyokong tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang daripada parti itu yang menyatakan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kedua-dua ADUN berkenaan, Datuk Jasri Jamaluddin (Kuala Sentul) dan Mohd Yazid Mohd Yunus (Lepar), telah menyatakan hasrat mereka kepada pucuk pimpinan parti sebelum mengambil tindakan tersebut.

Beliau berkata kedua-duanya kemudiannya menandatangani perjanjian persefahaman bersama Wan Rosdy sebagai tanda sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Pahang itu.

"Biro Politik Bersatu yang dipengerusikan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membincangkan perkara ini dari segala sudut dan secara dasarnya menyokong tindakan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Faizal berkata keputusan itu dibuat bagi menjamin kestabilan politik di Pahang, selain memastikan kebajikan rakyat di kedua-dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan terus mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan negeri.

Beliau menambah, pendirian tersebut dibuat selepas mengambil kira kepentingan rakyat serta keperluan memastikan pentadbiran negeri Pahang kekal stabil sehingga PRN akan datang.

DUN Pahang mempunyai 42 kerusi dan pentadbiran kerajaan negeri dibentuk menerusi gabungan Barisan Nasional yang memiliki 17 kerusi iaitu UMNO 16 dan MIC satu, manakala Pakatan Harapan dengan lapan kerusi.

Perikatan Nasional (PN) pula menguasai 17 kerusi menerusi Pas (15 kerusi) dan Bersatu (dua kerusi).
 

 

Must Watch Video

Advertisement