Skip to main content

Politik

Bersatu tarik balik saman terhadap Speaker berhubung kerusi Parlimen dikosongkan

81739464331_tbBersatu.jpg
Bersatu menarik balik saman difailkan di Mahkamah Tinggi terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik balik saman difailkan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berhubung keengganannya mengisytiharkan kerusi Parlimen disandang lima bekas Ahli Parlimen parti itu sebagai kosong.

Peguam parti itu, Chetan Jethwani, memaklumkan kepada Hakim Mahazan Mat Taib bahawa Bersatu tiada pilihan selain menarik balik keseluruhan saman susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Jan lepas yang menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran merayu dalam satu usaha berasingan bagi mencabar keputusan Speaker yang enggan mengisytiharkan empat kerusi Parlimen di Sabah sebagai kosong.

Advertisement

Sementara itu, peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Michael Anthony yang mewakili lima Ahli Parlimen berkenaan memohon mahkamah supaya memberikan kos sebanyak RM100,000, dengan menyatakan bahawa kerja yang substantif telah dijalankan dalam kes tersebut.

Peguam Persekutuan Zulkefli Sulaiman, yang mewakili Johari, berkata kerajaan tidak menuntut kos dalam saman yang difailkan oleh Bersatu itu. Mahkamah kemudian memerintahkan Bersatu membayar kos sebanyak  RM10,000 kepada lima Ahli Parlimen berkenaan.

Lima Ahli Parlimen yang dinamakan sebagai defendan ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Saman itu difailkan oleh Setiausaha Kerja Bersatu Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya, dan Naib Presiden Bersatu yang juga Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee, pada 2024.

Dalam saman itu, kedua-dua plaintif memohon satu deklarasi bahawa Johari melalui surat bertarikh 9 Julai 2024 telah bertindak menyalahi Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan apabila secara salah membuat keputusan tidak berlakunya kekosongan luar jangka bagi lima kerusi Parlimen itu.

Plaintif-plaintif juga memohon satu deklarasi bahawa Johari perlu mematuhi peruntukan tersebut dengan mengesahkan bahawa kekosongan luar jangka telah berlaku serta memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari dari tarikh perintah mahkamah.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video