Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Terengganu menyarankan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya 'berehat' daripada berebut jawatan sebagai perdana menteri.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, kedua-dua tokoh politik itu sebaliknya perlu memberi ruang kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui kepimpinan negara.

Katanya perjanjian jawatan dalam politik membabitkan mereka berdua juga tidak pernah muktamad, malah bukan kali pertama berlaku.

"Kedua-duanya (perlu) berehat dan beri peluang kepada Tan Sri Muhyiddin... sebaiknya jangan kita cuba rosakkan landasan yang telah dibina.

"Rakyat memberi keyakinan yang penuh (kepada Muhyiddin dan ini) terbukti dengan COVID-19 dapat diselesaikan (yang menguruskan pandemik dengan baik)," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) kepada pengusaha pelancongan Tasik Kenyir, pada ahad.

Beliau mengulas isu PKR menolak cadangan supaya Dr Mahathir menjadi perdana menteri bagi mewakili kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya mahu Anwar dilantik sebagai menjawat jawatan itu jika mereka dapat membentuk kerajaan.