Ringkasan AI
- BERSIH menyambut ulang tahun ke-20 sebagai momentum memperkukuh demokrasi dan memperjuangkan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.
- Sambutan akan diadakan pada 21 November 2026 di The Godown Arts Centre, Kuala Lumpur, dengan pelbagai program termasuk pameran dan anugerah.
- BERSIH mengajak orang ramai menyumbang atau meminjam barangan kenangan demonstrasi terdahulu untuk dipamerkan sempena sambutan tersebut.
PETALING JAYA: Sambutan ulang tahun ke-20 Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) bukan sekadar ruang untuk mengenang sejarah romantik perjuangan gerakan itu, sebaliknya menjadi momentum untuk memperbaharui tekad dalam memperkukuh demokrasi negara.
Pengerusi BERSIH, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, sambutan berkenaan juga bertujuan menyemarakkan semangat perjuangan serta menggerakkan usaha yang lebih besar dalam memperjuangkan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.
Menurut Muhammad Faisal, pencapaian sepanjang dua dekad itu membuktikan bahawa perjuangan rakyat mampu membawa perubahan yang bermakna.
“Perjuangan BERSIH bukan sekadar gerakan menuntut pilihan raya yang adil, tetapi turut menjadi sebahagian daripada usaha yang lebih besar untuk memperkukuh demokrasi, menegakkan keadilan dan memastikan pemerintahan yang lebih bertanggungjawab kepada rakyat.
“Sepanjang menempuhi dua dasawarsa perjuangan, kita telah merekodkan pencapaian penting dalam menyuburkan demokrasi dan memperbaiki sistem pemerintahan politik ke arah tahap yang lebih baik, walaupun belum mencapai tahap sempurna yang diidamkan,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Khamis.
Sambutan ulang tahun ke-20 BERSIH dijadual berlangsung pada 21 November 2026 di The Godown Arts Centre, Kuala Lumpur, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.
Antara pengisian program termasuk pameran '20 Tahun BERSIH: Dari Aksi ke Aksi', perkongsian pengalaman oleh penulis buku We BERSIH, Danny Lim, serta Malam Sambutan Ulang Tahun ke-20 BERSIH.
BERSIH akan turut menyampaikan Anugerah BERSIH untuk Demokrasi kepada pertubuhan yang banyak menyokong gerakan masyarakat sivil di Malaysia.
Dalam pada itu, BERSIH turut mengajak orang ramai menyumbang atau meminjamkan barangan kenangan daripada demonstrasi terdahulu untuk dipamerkan sempena sambutan berkenaan.