POLITICS
Biro Politik PKR adakan mesyuarat khas hujung bulan ini, tumpu program PRN Sabah - PM Anwar

Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama barisan kepimpinan baharu PKR pada Kongres Nasional PKR 2025 di Persada Johor International Convention Centre, hari ini. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Biro Politik PKR akan mengadakan mesyuarat khas pada 29 Mei ini bagi membincangkan mengenai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Ringkasan AI
- Biro Politik PKR akan bermesyuarat khas pada 29 Mei 2025 bagi membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
- Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan rundingan dengan BN dan GRS telah diadakan bagi membentuk kerjasama.
- Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mencadangkan parti itu diberi sekurang-kurangnya 13 kerusi untuk ditandingi pada PRN Sabah.
"...tapi sementara sebelum dia pergi, sebaik sahaja selesai ASEAN, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China, mungkin 29 hari bulan ini kita akan adakan mesyuarat biro politik untuk rangka program PRN Sabah," kata beliau.
Anwar berkata demikian dalam ucapan penggulungan sekali gus menangguhkan Kongres Nasional tahunan PKR 2024/2025, yang berakhir hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata perbincangan bersama Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor, untuk berkerjasama juga telah diadakan.
"Saya telah bincang untuk memastikan kerjasama boleh dilakukan dengan syarat suatu pengiktirafan tentang usaha Keadilan dan PH, supaya diberikan peluang untuk bersama-sama bekerja memperjuangkan dan membela nasib rakyat Sabah," katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut memberikan jaminan bahawa PKR dan Pakatan Harapan (PH) akan memperoleh jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri yang munasabah untuk ditandingi pada pilihan raya negeri akan datang.
Terdahulu, Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar dalam penggulungan ucapan dasar Presiden, mahu PKR diberikan sekurang-kurangnya 13 kerusi untuk ditandingi pada pilihan raya negeri itu dan mencadangkan Presiden parti berbincang dengan rakan gabungan Kerajaan Perpaduan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami