TAWAU: Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belajar daripada sejarah bagi mengelak mengulangi kesilapan dilakukan parti politik yang berpecah sesama sendiri sehingga mengakibatkan negeri terus mundur dan rakyat terkesan.

Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata sehubungan itu, BN dan GRS mengorak langkah untuk melaksanakan kerjasama sehingga tertubuhnya kerajaan Sabah, kemudian meneruskan kerjasama itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata pemimpin Sabah perlu mencontohi pimpinan Sarawak yang bersatu dan saling sepakat selain tiada memberi ruang untuk pihak yang tidak bertanggungjawab menghasut pergaduhan serta mengadu domba.

"Kalau kita lihat landskap politik terlalu mustahil untuk kita bekerjasama sebab di Semenanjung BN dan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh berbincang, sudah tutup pintu, tetapi di Sabah saya bincang dengan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Hajiji Noor juga Pengerusi GRS).

"Kita ini negeri yang termiskin di Malaysia, kalau kita terus bergaduh dalam kalangan kita, memang ada yang menang dan ada yang kalah tetapi akhirnya negeri kita mundur, rakyat tambah miskin, susah dan menderita," katanya di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Perdana Dalam Siri Jelajah Ke Parlimen Kalabakan di Kampung Pasir Putih di sini, yang turut dihadiri calon BN bagi Parlimen Kalabakan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.

GRS dianggotai Bersatu, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang menjalin kerjasama bersama BN bagi mentadbir negeri ini. PN pula melibatkan Bersatu, PAS, Gerakan, SAPP dan STAR.

Dalam sidang media selepas majlis itu, Bung Moktar ketika ditanya mengenai siri jelajah kempen yang dilaksanakan berkata rakyat positif dengan BN dan GRS yang menawarkan kemakmuran dan kestabilan, malah mendapat tarikan pengundi.

"Saya melihat bahawa trend PRU15 kali ini amat berbeza dengan PRU14, pengundi mahu kembali kepada kestabilan dan kemakmuran bukan lagi janji manis...dan hasil jelajah ini juga saya melihat pada awalnya kerusi Parlimen Lahad Datu dikategorikan sebagai kerusi kelabu hitam.

"Tetapi hasil pemantauan yang dilakukan dan pasukan petugas khas saya nampak ada peluang di Lahad Datu sebab saya buat ceramah di Kunak kehadiran mencecah lebih 3,000 orang dan kita pun dapat sokongan daripada bekas pemimpin di sana," katanya.

-- BERNAMA