KLANG: Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan tujuh formula bagi memastikan kemenangan di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, formula pertama yang digunakan adalah memastikan parti dalam keadaan kesiapsiagaan tinggi.

"Kita kena sentiasa bersiap sedia dalam pelbagai sudut, manakala formula kedua jangan pandang lekeh orang (parti) lawan," katanya ketika berucap pada Program Town Hall UMNO Bahagian Kota Raja di Royal Mustika Ballroom, di sini, pada Isnin malam.

Beliau berkata, formula ketiga pula setiap jentera parti diingatkan supaya memperbanyak program dan aktiviti bagi memenangkan calon BN.

"Formula keempat setiap jentera mestilah (digerakkan) untuk membantu, manakala formula kelima pula jangan sabotaj calon kerana (individu) dipilih itu calon terbaik," ujar beliau.

Ahmad memberitahu, formula keenam dan ketujuh pula antara lain setiap jentera parti mempunyai data pengundi dan menjaga emosi mereka dengan baik.

"Jika semua formula ini diikuti, Insya-Allah kita mampu menang dalam PRN di enam negeri ini," kata beliau.

Menurutnya lagi, menjadi harapan semua parti politik untuk menang dalam setiap pilihan raya.

Beliau berkata, terdapat keyakinan tinggi BN dan Pakatan Harapan (PH) mampu mempertahankan tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

"UMNO akan jadi sebahagian kerajaan jika menang di Pulau Pinang, Selangor dam Negeri Sembilan," jelas beliau.

Ujarnya, harapan sama turut diletakkan di negeri Kelantan, Kedah dan Terengganu.

"Kelantan sudah 33 tahun diperintah parti sama dan PRN kali ini kita menyokong Kerajaan Perpaduan.

"Rakyat Kelantan ramai di Lembah Klang ini dan apabila mereka balik (mengundi) sokonglah Kerajaan Perpaduan kali ini, begitu juga di Terengganu dan Kedah," tambahnya. - Sinar Harian