BN kekalkan kerusi Cameron Highlands, Manogaran kalah lagi

Arfa Yunus
Januari 26, 2019 12:31 MYT
Kemenangan Ramli mencipta sejarah apabila calon tunggal Orang Asli ini berjaya melangkah masuk ke Dewan Rakyat. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi tradisinya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands apabila calonnya Ramli Md Nor menang dengan majoriti 3,238.
Kemenangan Ramli mencipta sejarah apabila calon tunggal Orang Asli ini berjaya melangkah masuk ke Dewan Rakyat.
Pegawai Pengurus PRK Cameron Highlands Datuk Ishak Md Napis berkata, Ramli berjaya mendapat 12,038 undi manakala Manogaran hanya mampu meraih sebanyak 8,800 undi.
Dua calon BEBAS, Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib masing-masing mendapat 276 dan 314 undi.
"Undi yang ditolak adalah sebanyak 568 undi.
"Dengan ini saya mengisytiharkan bahawa Ramli Md Nor dari parti Barisan Nasional telah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat bagi bahagian Pilihan Raya P.078 Cameron Highlands," kata Ishak di Pusat Penjumlahan Undi di SMK Sultan Ahmad Shah di sini pada Sabtu.
Tambahnya, peratusan keluar mengundi pada PRK Cameron Highlands ini adalah sebanyak 68.79 peratus.
Ini merupakan peratusan keluar mengundi tertinggi berbanding dengan empat PRK sebelum ini, termasuk PRK Port Dickson iaitu sebanyak 58.3 peratus.

Keputusan Rasmi Pilihan Raya Kecil P.078 Cameron Highlands, Pahang pic.twitter.com/3z2JlbZyLH

— Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (@sprgovmy) January 26, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
PRK Cameron Highlands diadakan semula selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila Ahli Parlimennya sebelum ini, Datuk C Sivarraajh (MIC) berhadapan tuduhan rasuah.
Pada 4 Jun 2018, Manogaran memfailkan petisyen memohon perisytiharan bahawa keputusan PRU14 pada 9 Mei lalu bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands yang disandang Sivarraajh terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Berikutan itu, Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan keputusan pilihan raya berkenaan terbatal.
Dalam pada itu, SPR pada 28 Disember 2018 mengesahkan Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC itu tidak layak bertanding dalam PRK kali ini.
Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran dan tiga calon lain.
Sebelum ini, PH hanya mampu memenangi 8.66 peratus undi di Felda Sungai Koyan 1 dan 13.70 peratus undi di Felda Sungai Koyan 2 dan 3 yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai yang majoritinya merupakan pengundi Bumiputera.
Keputusan PRU14 itu lebih buruk berbanding PRU13 semasa PAS masih bersama PKR dan DAP di dalam Pakatan Rakyat sebelum ia dibubarkan.
Pada PRU13, DAP berjaya mendapat 27.85 peratus undi di Felda Sungai Koyan 1 dan 22.35 peratus undi di Felda Sungai Koyan 2 dan 3.
Sejak kerusi Cameron Highlands dipertandingkan buat kali pertama pada 2004, ia merupakan kubu kuat Barisan Nasional yang diwakili parti MIC.
#Barisan Nasional #BN #Cameron Highlands #M Manogaran #pilihan raya kecil #PRK #PRK Cameron Highlands #PRU14 #Ramli Mohd Nor