BN Kuala Selangor bantah syor kedua SPR

Harits Asyraf Hasnan
Februari 26, 2018 06:08 MYT
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata ia bagaimanapun hanya melibatkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Saujana Utama sahaja. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Barisan Nasional (BN) Kuala Selangor hari ini mengemukakan bantahan terhadap syor kedua yang dikemukakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata ia bagaimanapun hanya melibatkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Saujana Utama sahaja.
Jelasnya, pada sesi pendengaran yang berlangsung hari ini, beliau memohon supaya syor pertama SPR dikekalkan.
“Secara prinsip, Parlimen hanya tetap satu dan tidak ada pertambahan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana di bawah Parlimen Kuala Selangor ada DUN Bukit Melawati, DUN Jeram dan DUN Ijok.
“Tidak ada langsung perubahan dari segi jumlah DUN. Cuma ada sedikit melibatkan Pusat Daerah Mengundi (PDM) kerana pada hemat saya sudah tentu dengan kepadatan jumlah penduduk yang semakin meningkat, ia akan memudahkan penduduk,” katanya ketika di temubual Astro AWANI.
Jelasnya, tindakan beliau bersama 26 lagi pengundi Kuala Selangor tidak berkait dengan politik sebaliknya untuk memudahkan pengurusan dan pentadbiran.
"Rakyat perlu memahami bahawa ia tiada kaitan dengan mana-mana isu politik.
"Apa yang paling penting adalah kerana keluasan Parlimen Kuala Selangor yang makin luas dan kepadatan penduduk makin meningkat menyebabkan saya membawa bantahan ini ke SPR," jelasnya.
#Barisan Nasional #Dewan Undangan Negeri #Irmohizam Ibrahim #Kuala Selangor #Malaysia Memilih #Parlimen #pilihan raya #Pusat Daerah Mengundi #Saujana Utama #Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia