BN lantik Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung

Bernama
Mac 16, 2020 16:58 MYT
Lantikan Annuar Musa diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Isnin yang antara lain turut mengekalkan Tengku Adnan sebagai Bendahari BN.
Barisan Nasional (BN) pada Isnin mengumumkan rombakan struktur kepimpinan, dengan melantik Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa sebagai Setiausaha Agung BN menggantikan penyandang Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam satu kenyataan, berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Isnin yang antara lain turut mengekalkan Tengku Adnan sebagai Bendahari BN.
"Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz pula akan menggantikan Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad sebagai Setiausaha Eksekutif BN," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata BN juga amat mengambil berat keadaan negara dan rakyat yang dilihat semakin terkesan akibat COVID-19 yang semakin menular.
Justeru beliau menasihati orang ramai agar sentiasa peka dan mengikuti perkembangan COVID-19 melalui pemberitahuan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan tidak mudah mempercayai berita palsu yang kerap ditularkan di laman media sosial.
"Paling penting, BN mengharapkan rakyat tidak panik dengan wabak ini tetapi perlu mengambil langkah berjaga-jaga," katanya.
-- BERNAMA
#Annuar Musa #Barisan Nasional #BN #Setiausaha Agung BN #Tengku Adnan Tengku Mansor