POLITIK

BN terus perjuang kepentingan rakyat Sabah - Zambry

Bernama 08/11/2025 | 13:45 MYT
Ahmad Zahid bersama Zambry, meneliti dokumen sebelum memulakan mesyuarat komponen Barisan Nasional hari ini. - Gambar Bernama
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) akan terus memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah demi kestabilan dan pembangunan berterusan di negeri itu serta negara, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abd Kadir.


Ringkasan AI
  • BN akan terus memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah demi kestabilan dan pembangunan negeri serta negara.
  • Prinsip ini menjadi pegangan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
  • Keputusan pengumuman calon PRN Sabah akan diumumkan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin esok pada 12 tengah hari.


Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata prinsip perjuangan itu terus menjadi pegangan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.

"Tradisi memperjuangkan kepentingan rakyat akan kita teruskan, kerana perkara paling utama bagi setiap negeri dan negara ialah kestabilan yang perlu dipelihara dan dipertahankan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Ibu Pejabat UMNO negeri Sabah, hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri itu, turut membincangkan persiapan terakhir menghadapi PRN Sabah ke-17, termasuk aspek kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) serta pembahagian kerusi yang telah dimuktamadkan.

Beliau berkata pelancaran Jentera BN bagi PRN Sabah akan diadakan pada 2.30 petang esok di sebuah hotel di sini, sebagai simbol kesiapsiagaan BN untuk memasuki fasa kempen.

Dalam pada itu, Zambry berkata BN pusat menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan BN Sabah untuk mengumumkan senarai calon bagi PRN kali ini.

"Kita serahkan kepada pimpinan di Sabah kerana mereka mempunyai autonomi untuk mengumumkan nama-nama calon. Jadi, bila mereka akan mengumumkan, itu saya serahkan kepada mereka untuk tentukan," katanya.

Berdasarkan jemputan media oleh UMNO, pengumuman calon parti akan dibuat pada 12 tengah hari esok oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

-- BERNAMA


#Barisan Nasional #Pakatan Harapan #pilihan raya negeri #UMNO