BN terus utamakan gaya hidup sihat rakyat Malaysia

Bernama
April 7, 2018 22:16 MYT
Manifesto BN turut berjanji untuk membangunkan hospital dan klinik kesihatan baharu dengan penambahan anggota Pasukan Medik Bergerak. - Gambar hiasan
Kesihatan serta gaya hidup sihat menjadi elemen utama yang dititikberatkan oleh Barisan Nasional (BN) dalam menjaga kesejahteraan rakyat Malaysia dan ia dijanjikan dalam Manifesto BN untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Antara lain ia menjanjikan perluasan bidang tumpuan bagi merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia seperti ekonomi, psikologi dan sosial, serta melakukan usaha berterusan untuk menilai elemen kesejahteraan rakyat.
BN menjanjikan untuk meningkatkan kadar pelepasan tahunan cukai pendapatan individu bagi kos perubatan ibu bapa daripada RM5,000 kepada RM10,000.
Parti itu turut menjanjikan untuk membina sebuah Hospital Veteran ATM pertama di Malaysia, di Ipoh, Perak yang akan memanfaatkan lebih 300,000 veteran tentera manakala lebih 1 juta rakyat Malaysia akan terus menikmati subsidi bil elektrik bulanan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN, melancarkan Manifesto yang bertemakan 'Bersama BN Hebatkan Negaraku', Sabtu malam.
Berikut adalah janji-janji lain dalam manifesto itu berkaitan gaya hidup sihat:
  • Membangunkan hospital dan klinik kesihatan baharu dengan penambahan anggota Pasukan Medik Bergerak.
  • Membina lebih banyak poliklinik di kem tentera bagi anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
  • Menyediakan modul khusus untuk intervensi awal keluarga yang mempunyai anak autisme dengan PERMATA.
  • Membuka keahlian kelab khas dan program komuniti terpilih untuk golongan pesara dan warga emas.
  • Memperkemaskan perkhidmatan kesihatan dan pergigian kepada warga emas dan pesakit terlantar melalui lawatan rumah ke rumah.
  • Mempermudahkan sistem urusan kesihatan melalui kaedah dalam talian.
  • Membina lebih banyak taman poket di bandar-bandar seluruh negara.
  • Mentransformasi kawasan tinggalan dan bangunan usang untuk dijadikan ruang rekreasi komuniti.
  • Menyusun program dan inisiatif baharu dalam menangani isu kesihatan mental.
  • Mempertingkatkan kewibawaan pakar dan keupayaan teknologi di Unit Kawalan Penyakit Berjangkit.
  • Memperkenalkan pusat penjagaan dwifungsi untuk kanak-kanak dan warga emas.
  • Menaik taraf peralatan dan kepakaran di hospital-hospital ATM.
  • Membantu pusat transit dan memperluaskan program bantuan untuk kumpulan gelandangan.
  • Memperhebatkan Program Pemantauan Kualiti Alam Sekitar (EQMP).
  • Memperkenalkan undang-undang Air demi menjamin akses air bersih untuk rakyat.
  • Memperkenalkan undang-undang baharu pemuliharaan dan pengurusan hutan yang mampan.
  • Merealisasikan Malaysia sebagai negara ekonomi hijau melalui penurunan kadar pelepasan karbon.
  • Menggalakkan sektor swasta untuk terus menyumbang kepada pembangunan zoo, hidupan liar dan alam sekitar.
  • -- BERNAMA
    #Barisan Nasional #BN #gaya hidup #kesihatan #MalaysiaMemilih #Manifesto #Najib Razak #PRU14 #rawatan