JERLUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan sentiasa terbuka atas sebarang kritikan dan pandangan yang disampaikan semua pihak demi kebaikan kepada negara.

Bagaimanapun, beliau menolak sekeras-kerasnya tindakan sesetengah pihak yang melemparkan fitnah sehingga membawa kepada politik perpecahan.

Selain itu, sikap taksub yang berlebihan kepada parti-parti tertentu sehingga muncul 'label-melabel' kepada pihak yang tidak sehaluan dengan mereka akan menjadikan keadaan semakin parah.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Tambun itu berharap agar golongan ilmuan agama dapat menegur perbuatan demikian demi keharmonian masyarakat.

"Saya minta sekali lagi, kalau kita hendak pertahankan Islam, ada banyak lagi (perkara) boleh kritik saya, (itu semua) saya boleh terima, kritik (kritik) kerajaan (juga) saya boleh terima, tetapi fitnah tidak boleh.

"Ada pandangan umpamanya (keluarkan fatwa) kalau tidak bersama parti ini, (mereka) bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah, itu (adalah sesuatu yang sangat) parah.

"(Jadi) ustaz-ustaz dan guru-guru agama mesti tegur (perkara itu), janganlah kita punyai ketaksuban kepada parti mengatasi (segalanya), "Al Islamu ya’lu wa laa yu’la alaih" (Islam akan selalu unggul dan tidak akan pernah diungguli oleh agama lainnya)," katanya.

Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Sambutan Jubli Intan Sekolah Menengah Agama Nahdhah Hasanah di Kampung Melele, Kodiang pada Sabtu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri sekali lagi mengulangi pendirian bahawa kerajaan pimpinannya akan menghentikan amalan menggunakan wang rakyat untuk memperkayakan pemimpin-pemimpin atasan.

Beliau juga berharap agar gejala rasuah dapat dibendung secara habis-habisan dan semua pihak dapat bekerjasama sebagai satu pasukan dalam memastikan ianya dapat direalisasikan.