Skip to main content

Politik

Boleh kekal dalam kerajaan, tapi DAP perlu nilai semula hubungan dengan Anwar - Sangeet

Sangeet Kaur Deo
SANGEET: Daripada menyatukan rakan-rakan gabungan, apa yang beliau lakukan? Beliau telah memecah-belahkan kita, melaga-lagakan antara satu sama lain dan memperkasakan UMNO.
Advertisement

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP harus menilai semula hubungan parti itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil ia perlu kekal dalam Kerajaan Perpaduan buat masa ini, demikian cadangan disuarakan Perwakilan Kuala Lumpur, Sangeet Kaur Deo.

Bagaimanapun, beliau yang bertindak sebagai pembahas usul berkata, alasan untuk terus berada dalam kerajaan bukan semata-mata bagi mengelakkan ketidakstabilan politik atau memastikan kerajaan dapat bertahan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya, beliau berkata, tempoh yang ada perlu digunakan untuk membina semula kepercayaan dan keyakinan terhadap parti, termasuk kembali bersuara dalam isu yang menjadi keresahan penyokongnya.

“Adakah kita kekal atau kita keluar? Jawapan ringkasnya, kita kekal buat masa ini. 

"Kita harus kekal kerana DAP memerlukan tempoh beberapa bulan ini untuk membina semula kepercayaan dan keyakinan terhadap parti,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kebangsaan DAP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Sangeet yang juga anak kepada mendiang Karpal Singh, bekas pemimpin utama DAP, mengakui pelbagai pembaharuan dan inisiatif telah dilaksanakan menteri parti itu, namun menegaskan DAP tidak boleh mengetepikan isu lebih besar yang sedang dihadapinya.

Menurutnya, dalam keadaan terlalu banyak isu, DAP memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu menimbulkan ketegangan dalam kerajaan.

Beliau turut mempersoalkan pencapaian kerajaan dalam menangani rasuah, dengan menyatakan DAP sebelum ini mendapat mandat atas janji untuk membanteras gejala berkenaan.

“Kita mendapat kuasa atas dasar bahawa kita akan membanteras rasuah. Adakah kita sudah melakukannya? Belum,” katanya.

Sangeet turut membangkitkan keputusan melepas tanpa membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap 47 pertuduhan, serta beberapa kontroversi yang dikaitkan dengan institusi penguatkuasaan, sebagai antara isu yang menjejaskan keyakinan terhadap kerajaan.

Katanya, pemimpin DAP dalam Kabinet telah membangkitkan isu berkenaan secara dalaman, namun persoalan yang terus kedengaran daripada pengundi ialah mengapa parti itu tidak lebih lantang menyatakan pendirian secara terbuka.

“Apakah yang pengundi katakan? Di mana DAP? Di mana suara anda? Mengapa anda berdiam diri?” katanya.

Dalam nada lebih tegas, Sangeet meminta kepimpinan tertinggi DAP menilai semula hubungan parti dengan Anwar.

“Saya meminta CEC kita supaya menilai semula secara serius hubungan kita dengan Anwar.

“Daripada menyatukan rakan-rakan gabungan, apa yang beliau lakukan? Beliau telah memecah-belahkan kita, melaga-lagakan antara satu sama lain dan memperkasakan UMNO. Kita tidak boleh terus mengabaikan perkara itu,” katanya.

Beliau berpandangan DAP perlu kekal dalam kerajaan, tetapi tidak seharusnya menggunakan alasan bahawa semua reformasi yang dijanjikan masih boleh dicapai sekiranya parti terus berada dalam pentadbiran.

“Jangan katakan kita kekal (dalam kerajaan) kerana kita akan mencapai reformasi yang telah kita janjikan selama ini. Kerana, jika kita mampu melakukannya, kita sudah pun melakukannya.

“Hakikatnya, kita tidak boleh bekerjasama dengan rakan-rakan gabungan ini,” katanya.

Sangeet sebaliknya mahu DAP menggunakan tempoh kira-kira 18 bulan akan datang untuk mengukuhkan parti dan mendapatkan semula suaranya ketika masih berada dalam kerajaan.

“Kekal dalam kerajaan. Cari semula suara kita. Bersuara selagi kita berada di dalamnya.

“Dan jika kita perlu kembali menjadi pembangkang, sekurang-kurangnya kita sudah meletakkan asas dan mendapatkan semula kredibiliti,” katanya.

Beliau merumuskan pendiriannya bahawa DAP wajar kekal dalam kerajaan buat masa ini, namun atas alasan yang berbeza iaitu untuk memperkukuh parti, membina semula keyakinan pengundi dan kembali bersuara ketika masih berada dalam kerajaan.

Must Watch Video

Advertisement