Ringkasan AI
- Armada Bersatu menolak tuduhan pengkhianatan berhubung aduan rasmi kepada RoS yang menyebabkan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional.
- Bersatu mengemukakan lapan hujah pelanggaran perlembagaan PN, termasuk isu notis mesyuarat, korum, pelantikan jawatan, dan pengurusan fail.
- Kepimpinan PAS didakwa gagal mempertahankan tatacara mesyuarat dan justifikasi sewaktu menjawab Notis Tunjuk Sebab di bawah Akta Pertubuhan 1966.
KUALA LUMPUR: Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membidas tuduhan Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang mendakwa Bersatu bertindak "menikam belakang" susulan keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN).
Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid menegaskan, langkah Bersatu mengemukakan aduan rasmi kepada RoS bukan satu pengkhianatan, sebaliknya tindakan berprinsip demi mempertahankan integriti undang-undang perlembagaan parti.
"Jangan sesekali cuba menyalahkan Bersatu apabila sudah terang lagi bersuluh bahawa pihak pentadbiran PN sendiri yang telah terang-terangan melanggar beberapa Fasal Perlembagaan pertubuhan.
"Langkah Bersatu membuat aduan kepada RoS bukanlah pengkhianatan, malah ia adalah satu tindakan berprinsip demi mempertahankan integriti undang-undang selepas hak Bersatu untuk hadir, bercakap, dan mengundi dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi pada 16 Julai lalu dinafikan secara zalim," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Harris berkata, Bersatu mengemukakan lapan hujah pelanggaran perlembagaan kepada RoS termasuk ketiadaan notis panggilan mesyuarat yang sah, kecacatan korum, pelantikan jawatan utama tanpa konsensus, serta pindaan struktur organisasi dan pengurusan fail yang melanggar aturan.
Beliau turut menyelar kepimpinan Pas yang didakwa gagal mempertahankan tatacara mesyuarat mereka sewaktu menjawab Notis Tunjuk Sebab di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.
"Kegagalan mutlak Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam mengemukakan justifikasi yang kukuh dan gagal menyangkal asas pembatalan sewaktu menjawab Notis Tunjuk Sebab di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 akhirnya telah memusnahkan gabungan ini.
"Sikap gelojoh para pemimpin Pas dalam menguruskan PN sebenarnya didorong oleh satu agenda jahat yang tersusun, iaitu untuk membunuh Bersatu secara politik dan sekali gus membantu menaikkan Parti Wawasan Negara untuk bergerak dan memainkan peranan Bersatu dalam PN," tegasnya lagi.
Harris menambah, percubaan mana-mana pihak untuk menunggang jenama gabungan berkenaan demi kepentingan politik peribadi kini terbukti menemui jalan buntu.
"Realiti politik hari ini membuktikan bahawa tarikan (traction) politik kepada Parti Wawasan Negara tanpa adanya payung dan platform Perikatan Nasional adalah hampir sifar. Tindakan gelojoh menumpang populariti gabungan ini demi talian hayat politik mereka sendiri akhirnya bertukar menjadi senjata makan tuan yang memalukan," jelas beliau.