[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
POLITICS

Bukan warisan politik, Nurul Izzah miliki ciri pemimpin masa depan negara - SERI

Khalis Khadir 08/05/2025 | 14:20 MYT
Kata Helmy ketabahan Nurul Izzah mengharungi landskap politik negara yang penuh tekanan, mencerminkan keteguhan watak serta ketajaman strateginya. - Gambar fail/Instagram Nurul Izzah
KUALA LUMPUR: Komitmen berterusan Nurul Izzah Anwar terhadap prinsip demokrasi, keadilan sosial dan reformasi institusi membuktikan beliau mempunyai ciri pemimpin masa depan negara.
Pengerusi Social and Economic Research Initiative (SERI), Dr Helmy Haja Mydin berpandangan, walaupun Nurul Izzah merupakan anak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berjaya mengukir laluan tersendiri dalam mendekati suara rakyat.
“Walaupun beliau anak kepada tokoh politik terkenal, Nurul Izzah berjaya mencorak haluannya sendiri dan terus konsisten memperjuangkan agenda reformasi dengan penuh keaslian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jelas Helmy, pengalaman kerjasama dengan Nurul Izzah ketika beliau menerajui badan pemikir itu membuktikan keprihatinannya terhadap isu ketidaksamarataan dan keperluan membentuk dasar yang inklusif.
Menurutnya, Nurul Izzah yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama beberapa penggal dan memegang peranan penting dalam jawatankuasa Parlimen, memiliki kefahaman mendalam mengenai proses perundangan dan tadbir urus awam.
“Keupayaan beliau berinteraksi dengan akar umbi serta pemegang taruh institusi membolehkan pembentukan dasar yang menyeluruh dan seimbang.
“Nurul Izzah juga dikenal pasti sebagai antara tokoh yang lantang memperjuangkan isu seperti reformasi pendidikan, keadilan ekonomi dan kebebasan sivil, satu bidang yang menuntut ketegasan serta keprihatinan,” jelasnya.
Beliau menambah, Nurul Izzah bukan sahaja berupaya menggubal cadangan dasar yang berwibawa, malah berani mencabar sistem lapuk yang mengekang kemajuan negara.
Malah ujarnya, ketabahan Nurul Izzah mengharungi landskap politik negara yang penuh tekanan, mencerminkan keteguhan watak serta ketajaman strateginya.
Beliau turut menyifatkan, ciri-ciri itu menjadikan Nurul Izzah bukan sekadar penggubal dasar yang berkesan, tetapi juga pemimpin yang memahami keperluan rakyat dalam sebuah masyarakat moden dan demokratik.
#seri #kebebasan sivil #masyarakat moden #pemegang taruh