PAGOH: Tindakan mencabar Kerajaan Perpaduan mengisytihar enam kerusi Parlimen dan satu Dewan Undangan Negeri (DUN) dikosongkan dibuat kerana bimbang wujud 'tangan ghaib' dalam soal permohonan kelulusan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, permohonan yang dibuat kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sepatutnya berjalan lancar dan tiada halangan kerana dibuat selari dengan perlembagaan serta Akta Anti Lompat Parti.

Tambah Muhyiddin, beliau menyedari proses kelulusan pindaan perlembagaan parti akan membabitkan bidang kuasa tertentu di bawah kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kenapa saya cabar Anwar, kerana saya tahu ada bidang kuasa tertentu di bawah kerajaan, siapa itu kerajaan yang menentukannya?

"Kita juga tidak mahu ada halangan daripada pihak-pihak berkenaan seperti Speaker Dewan Rakyat, SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk tidak membenarkan proses pindaan itu dijalankan. Itulah yang saya maksudkan (mengenai cabaran itu).

"Jadi, kita cabar sebab hendak tengok kalau Perdana Menteri bercakap itu dan ini, itu hak dia pasal dalam pemikiran saya proses kelulusan harus berjalan lancar tiada sekatan daripada dilaksanakan," katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu ditemui selepas Ziarah Kasih Sumbangan Ramadan di Pekan Pagoh di sini, pada Ahad.

Muhyiddin (dua dari kiri) menyantuni warga emas, Jemah Kassim, 91 pada program Ziarah Kasih Ramadan di Pekan Pagoh pada Ahad. - Foto Sinar Harian

Hadir sama, Pengerusi Bersatu Johor yang juga ADUN Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan pindaan perlembagaan parti yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung Khas Bersatu perlu diluluskan, walaupun apa cara sekali pun.

"Apa pun ia melibatkan soal kuasa kerajaan seperti RoS dan SPR. Disebabkan itu saya harap tiada halangan atas apa jua sekali pun, ia mesti dilaksanakan," katanya.

Pada Sabtu, Anwar dalam lawatan kerja ke Pulau Pinang berkata, Muhyiddin tidak layak mencabar Kerajaan Perpaduan mengisytiharkan pengosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN kerana beliau sendiri dianggap sebagai 'pakar lompat'.

Katanya, keputusan sama ada pengosongan enam kerusi Parlimen dan satu DUN berkenaan sepatutnya dibuat individu yang mewakilinya semua kerusi berkenaan.

Pada 2 Mac lalu, Bersatu dilapor meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti itu pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.

Pindaan perlembagaan itu dibuat susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar sebelum ini.

Ia membabitkan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang); Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Terbaharu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang,Datuk Abdul Rashid Asari mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian