Cadang Ismail Sabri sebagai PM, model dipersetujui sejak PAU2020 - Asyraf Wajdi

Salim Aziz
April 16, 2022 03:30 MYT
Asyraf Wajdi menjelaskan, model berkenaan bermatlamat memberi ruang kepada presiden parti untuk menjaga serta memperkukuhkan pangkalan parti. -Astro AWANI
JITRA: Ketetapan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 14 April lepas yang mencadangkan Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah model yang disepakati sejak Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menjelaskan, model berkenaan bermatlamat memberi ruang kepada presiden parti untuk menjaga serta memperkukuhkan pangkalan parti.
Menurut Asyraf Wajdi, dalam model ini, Naib Presiden UMNO pula diberikan tugas untuk mengepalai pentadbiran kerajaan dengan menjawat jawatan Perdana Menteri.
Beliau menarik perhatian konsep sama juga diguna pakai di beberapa negara termasuk Indonesia di mana presiden sesebuah parti tidak semestinya menjadi presiden negara berkenaan.
"Waktu itu (PAU2020), kita sudah (buat kesepakatan yang) menggambarkan bahawa parti dan kerajaan boleh bergerak secara beriringan.
"Model ini sebenarnya adalah model yang bukan asing bagi sesebuah negara seperti Indonesia (di mana) presiden parti tidak semestinya (menjadi) presiden sebuah negara.
"Dalam konteks Malaysia hari ini, kita dapat lihat presiden parti boleh berperanan untuk menjaga parti, memperkasakan dan memperkukuhkan pangkalan, (atau) tempat rujukan dan pedoman bagi mereka yang berada di lapangan.
"Dan (individu yang berada) di lapangan ini sudah tentu perdana menteri yang menjadi ketua kerajaan, jadi tidak ada isu untuk kita bekerja sebagai satu pasukan dan (bergerak) secara beriringan," kata Asyraf Wajdi.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa rakyat tidak perlu skeptikal dengan keputusan yang dibuat itu akan sama dengan apa yang berlaku di Johor memandangkan ia berada 'di luar kawalan' UMNO.
Tegasnya, cadangan ini juga membuktikan UMNO dan Barisan Nasional sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab dengan tidak membiarkan rakyat berada di dalam ketidakpastian seperti apa yang berlaku ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan.
#Asyraf Wajdi Dusuki #ismail sabri yaakob #Perhimpunan Agung UMNO #Perdana Menteri