POLITIK

Calon BN PRN Sabah ditapis, perlu ada latar belakang berintegriti - Ahmad Zahid

Bernama 27/09/2025 | 08:45 MYT
Ahmad Zahid berkata nama calon bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Mahkamah Syariah untuk tapisan. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) telah menghantar senarai nama calon bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah kepada pihak berkuasa bagi memastikan hanya mereka yang mempunyai latar belakang integriti tinggi dipilih mewakili parti itu.


Ringkasan AI
  • BN telah menghantar senarai nama calon bagi setiap kerusi DUN kepada PDRM, SPRM dan Mahkamah Syariah untuk tapisan latar belakang, bagi memastikan hanya individu berintegriti tinggi dipilih mewakili parti.
  • BN menerima antara empat hingga lima nama bagi setiap DUN dan menekankan kebolehmenangan calon sebagai keutamaan, dengan kemungkinan proses tapisan turut diperluas kepada kepimpinan negeri di peringkat DUN dan bahagian.
  • Jumlah kerusi DUN yang akan ditandingi BN pada PRN17 akan dibincangkan bersama Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menjelang pembubaran automatik DUN Sabah pada 11 November jika tiada pembubaran awal dilakukan.


Pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata nama calon bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Mahkamah Syariah untuk tapisan.

"Kami menerima antara empat hingga lima nama bagi setiap DUN dan tapisan sememangnya dilakukan, bukan hanya terhadap calon yang bakal bertanding.

"Mungkin selepas ini kepimpinan negeri sama ada di peringkat DUN atau bahagian juga akan melalui proses penapisan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Inspirasi Wanita Luar Biasa Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Jelita GiatMARA di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi MARA yang juga Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Penasihat Kehormat RISDA merangkap Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini sekiranya tiada pembubaran dibuat lebih awal bagi memberi laluan kepada PRN17.

"Kebolehmenangan calon akan menjadi keutamaan," kata Ahmad Zahid sambil menambah jumlah kerusi DUN yang akan ditandingi BN pada PRN17 akan dibincangkan bersama Bung Moktar.

-- BERNAMA



#PRN Sabah #BN #Ahmad Zahid Hamidi #integriti