Calon PM Pakatan Harapan tidak boleh lari dari prinsip perjuangan reformasi

Hafiz Marzukhi
Disember 31, 2017 08:39 MYT
Walau siapapun yang menjadi calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan, dia tidak boleh lari dari prinsip perjuangan reformasi, kata Setiausaha Politik Ketua Pembangkang Yusmadi Yusoff
Walau siapapun yang menjadi calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan, pemimpin itu tidak boleh lari dari prinsip perjuangan reformasi.
Ini kerana Pakatan Harapan menggunakan model politik yang berbeza daripada Barisan Nasional (BN).
"Jika kita lihat, BN adalah gabungan parti politik tetapi Pakatan Harapan adalah satu gerakan masyarakat yang menekankan prinsip perjuangan untuk perubahan demokrasi dan keadilan.
"Jadi, calon yang dipilih bukan sahaja harus memperjuangkan perkara-perkara ini tetapi mampu menyatupadukan ahli politik dan juga rakyat," kata Setiausaha Politik Ketua Pembangkang Yusmadi Yusoff.
Tambah beliau, sejak mula Pakatan Harapan ditubuhkan, hanya satu nama yang diterima secara konsensus untuk menerajui kerajaan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sehingga kini, hanya nama beliau (Anwar) yang dipersetujui oleh semua parti dalam Pakatan Harapan," kata Yusmadi.
Apabila ditanya tentang cadangan yang dinyatakan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir untuk melantik Perdana Menteri bukan dari kalangan parti yang menandingi bilangan kerusi terbanyak dalam pilihan raya, Yusmadi berkata ini adalah satu pilihan.
"Namun bagi saya, apa yang penting adalah meneruskan konsensus sedia ada iaitu Anwar sebagai Perdana Menteri," katanya.
#Anwar Ibrahim #Mahathir Mohamad #pakatan #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #PPBM