Calon PRU15: Tidak dicalon? Kita tunggu pengumuman - Ismail

Fareez Azman
November 1, 2022 07:43 MYT
Ismail menyandang kerusi Parlimen Maran sejak empat penggal lalu.- Gambar fail/Astro AWANI
MARAN: Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib berkata beliau hanya mengambil sikap tenang meskipun khabar angin mengaitkan namanya antara yang digugurkan sebagai calon Parlimen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Ujarnya, beliau hanya mengambil sikap tunggu dan lihat apabila keputusan rasmi akan diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di ibu negara pada malam ini.
"Bagi saya khabar angin ini saya tak boleh terima, sebab saya pernah berkhidmat di Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebab itu kita melihat walaupun ada berita keluar, apabila diumumkan baharu berlaku secara nyata.
"Baru-baru ini saya terima senarai dikatakan dicalonkan saya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenor dan isteri saya DUN Luwit, itu tidak sah.
"Kita boleh tengok dan dengar tetapi jangan percaya sehingga perkara itu diumumkan," katanya ketika ditemui Astro AWANI di Kampung Sungai Ling di sini hari ini.
Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15. KLIK DI SINI!
[LAPOR LANGSUNG] PRU15: Pengumuman calon BN dan PN
Tegasnya, tanggungjawab besar perlu digalas oleh setiap calon yang akan diumumkan dan bukannya hanya sekadar ingin menjadi wakil rakyat.
"Saya steady, saya tak ada masalah, buat apa nak susah-susah, tuhan ada. Anda jadi calon yang pertama dipilih (oleh parti) mungkin lepas.
"Selepas itu berhadapan pengundi kalau tak perform, tak mesra rakyat, habislah anda (sebagai wakil rakyat) akan hilang (kepercayaan rakyat), masa itu anda baru tahu.
"Berikutnya, bila anda jadi (wakil rakyat), tanggungjawab besar bukan sekadar terpaksa melayan, semua rakyat, tapi melihat semua sekali (rakyat) termasuk bayar bil pesakit.
"Ini amanah, ini bukan keistimewaan tapi amanah yang perlu dipikul oleh calon jadi ahli politik," katanya lagi.
Ismail antara nama yang dikhabarkan akan digugurkan bagi calon Parlimen BN pada PRU kali ini.
Beliau menyandang kerusi Parlimen Maran sejak empat penggal lalu.
Dalam PRU14, Ismail daripada BN memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 3,763 undi mengatasi pencabarnya daripada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dalam PRU kali ini, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon Ahmad Shuhor Awang (Amanah) untuk kerusi P.086 Maran, manakala Perikatan Nasional (PN) dijangka mengumumkan calon pada malam ini.
#Calon PRU15 #Ismail Abd Mutalib #PRU15 #Malaysia Memilih