KUALA LUMPUR: Calon UMNO bakal berdepan ujian getir dalam mempertahankan kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang.

Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Mujibu Abd Muis memaklumkan ini kerana Pahang merupakan antara negeri terkesan dengan gelombang hijau yang hampir menjejaskan kedudukan UMNO sebagai kerajaan negeri itu.

"Dalam konteks ini saya rasa ini sekali lagi perlu memerlukan kerjasama yang baik kerana Pelangai berada di bawah Parlimen Bentong dan kawasan ini terkenal sebagai satu kawasan pengundi bukan Melayunya tinggi.

"Di sini juga telah dikuasai PH justeru dinamika ini perlu dilihat sebagai what's next for UMNO," katanya dalam program Pantau Agenda Reformasi pada Rabu.

Tambah beliau, keputusan akhir PRK nanti akan memberikan jawapan lebih jelas kepada UMNO sama ada perlu meneruskan kerjasama bersama Pakatan Harapan atau bergerak solo berdasarkan acuan yang mahu dibentuk demi survival parti.

Sementara itu, beliau berpendapat UMNO kini berada dalam situasi genting apabila dilihat jatuh ke tangga ketiga dalam merebut undi orang Melayu di belakang Pas dan Bersatu.

Jelasnya lagi, UMNO perlu bekerja lebih keras bagi mengembalikan kepercayaan serta memperbaiki krisis keyakinan terhadap parti yang dianggap sebagai pelindung orang Melayu.