Chini Memilih: Pembuat keris Pahang ambil kesempatan peluang perniagaan dalam talian

Fareez Azman
Jun 24, 2020 06:00 MYT
Pembuat keris Pahang, Wan Islahuddin Ali, 41, mengharapkan agar pengusaha sepertinya diberi bantuan dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan. - Gambar Astro Awani
Ketika bahang politik kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N23 Chini semakin panas, isu rakyat terutama berkaitan peluang pekerjaan terus menjadi perkara yang diketengahkan oleh setiap calon yang bertanding dalam memberi perubahan di DUN itu.
Lain pula cerita tentang seorang pengusaha keris tradisional Pahang yang melihat peluang pekerjaan di DUN Chini sebenarnya terbuka luas dengan menjadikan perniagaan secara dalam talian sebagai sumber rezeki.
Wan Islahuddin Ali, 41, yang ditemui di Kampung Salong, di Felda Chini berkata dia mula menjinakkan diri dalam bidang pembuatan keris sejak 2018 lagi. Bermula dengan minat, Islahuddin tidak menyangka pembuatan keris kini bertukar menjadi perniagaan komersial.
"Permintaan Alhamdulilah, cuma tidak menang tangan hendak membuatnya itu (keris). Ia memakan masa sedikit diantara keris biasa-biasa dan jenis gred collector.
"Minimum mengambil masa dua minggu dan ada sebilah tu orang Pahang kata cendeng (bermasalah) jadi kadang-kadang boleh sampai tujuh bulan nak siapkan sebilah keris," katanya lagi.
Malah dalam dunia tanpa sempadan, keris yang dibuatnya turut dijual secara dalam talian.
"Tempahan melalui online kebanyakkannya daripada Facebook dan Instagram dimana pembeli akan bertanya kepada saya. Tetapi keris sekarang ini bukan macam dahulu, peminat dan pelapis baharu sentiasa ada seperti cikgu saya sendiri pendapatannya boleh mencecah hingga lima angka sebulan," jelasnya.
Meskipun ketika ini hanya membuat keris seorang diri, Islahuddin menanam semangat agar seni pembuatan keris itu dapat diwarisi kepada generasi kini di DUN Chini.
Disamping itu, peluang pekerjaan juga boleh diwujudkan sekiranya ada pihak membantunya dalam mendapatkan mesin menempa besi yang berharga kurang RM70,000.
"Memang boleh jadi sumber pendapatan contoh dengan penambahan mesin boleh digajikan dua, tiga orang membantu. Kemungkinan mereka ini boleh jadi pelapis tukang keris akan datang sebab setakat ini tukang keris cuma ada 3-4 orang sahaja di Pahang ini.
"Saya di Kampung Salong, dua lagi cikgu saya di Kuantan dan seorang lagi di Rompin, kalau tidak ada pelapis tidak adalah penyambung seni pembuatan keris Pahang ini," kata Wan Islahuddin lagi.
Kisah Wan Islahuddin ini dapat membuka mata semua generasi muda di DUN itu.
Bukan hanya menunggu sebarang perubahan yang bakal dibawa oleh wakil rakyat, sebaliknya mewujudkan peluang menambah pendapatan sekaligus peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk di kawasan itu.
#calon #Chini Memilih #dalam talian #DUN Chini #Facebook #Instagram #jualan #peluang pekerjaan #Pembuatan Keris #pilihan raya kecil #politik #PRK #rakyat #Seni #tradisi