Chow Kon Yeow angkat sumpah Ketua Menteri Pulau Pinang

Astro Awani
Ogos 13, 2023 01:48 MYT
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, Chow Kon Yeow selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, sebentar tadi. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang, Chow Kon Yeow hari ini mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri bagi penggal kedua.
Kon Yeow, 65, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota, melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada jam 9.30 pagi di Seri Mutiara.
Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Toh Puan Seri Utama Khadijah Mohd Nor.
Hadir sama, isteri Kon Yeow, Tan Lean Kee; bekas Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Sayuthi Bakar, dan pimpinan Barisan Nasional (BN) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Kon Yeow secara rasmi diumum menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota dengan majoriti 7,116 malam tadi mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN) – Gerakan, H’Ng Khoon Leng (1,145).
Chow Kon Yeow angkat sumpah jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang
Beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baharu selepas gabungan PH-BN memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ( 15) semalam.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen.
Istiadat upacara Sumpah Istiadat Pengurniaan Surat cara pelantikan , mengangkat sumpah jawatan dan taat setia serta sumpah rahsia berlangsung di Seri Mutiara, di sini, pada Ahad.
#Chow Kon Yeow #Ketua Menteri Pulau Pinang #angkat sumpah Ketua Menteri Pulau Pinang #PRN