KUALA LUMPUR: Presiden parti Gerakan, Datuk Dominic Lau mendakwa akaun Twitternya digodam, selepas tularnya satu ciapan sensitif berhubung pemergian Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Dalam satu kenyataan, Dominic mendakwa akaun Twitter beliau telah digodam pihak tidak bertanggungjawab.

“Dimaklumkan bahawa laman sosial Twitter rasmi Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab tengah hari tadi.

“Pihak pentadbiran sedang mengesan punca insiden ini. Buat masa sekarang, protokol keselamatan yang terbaharu telah diaktifkan termasuk penukaran kata laluan pada semua akaun media sosial rasmi beliau,” kata Dominic pada Isnin.

Dominic juga memaklumkan laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat.

Terdahulu, satu tangkap layar ciapan dari akaun Twitter Dominic berbunyi “Okey tak kalau saya tanding dalam PRK Pulai?” tular sejak tengah hari tadi.

Salahuddin, 61, yang merupakan Ahli Parlimen Pulai dan ADUN Simpang Jeram, juga merupakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menghembuskan nafas terakhir pada 9.23 malam tadi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.