KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary mendesak Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan timbalannya, Lim Hui Ying untuk meletakkan jawatan.

Desakan itu dibuat susulan dakwaan beliau yang Hui Ying gagal menjawab soalan dikemukakan dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurutnya, sepanjang penglibatannya dalam sidang Parlimen, beliau tidak pernah melihat perkara itu berlaku dan mendakwa Timbalan Menteri itu tidak kompeten kerana gagal menjawab soalan.

“Ini adalah pernyataan tegas untuk Timbalan Menteri yang tidak kompeten seperti ini (untuk) meletakkan jawatan.

“Apa fungsi Timbalan Menteri kalau nak jawab soalan yang dah ada pun tak bersedia? Apa fungsinya sebagai Timbalan Menteri, dia kata tak bawa jawapan, jadi dia datang Parlimen untuk apa?

“Tadi dia menyokong untuk menangguhkan Dewan pada masa sekian-sekian…Takkan datang untuk sokong usul tangguh Dewan sahaja?

“Itu bukan tanggungjawab signifikan untuk seorang Timbalan Menteri,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen di sini pada Isnin.

Kegagalan Hui Ying menjawab soalan turut ditegur Speaker, Datuk Ramli Md Nor selepas Ahmad Marzuk bangkit bertanyakan soalan nombor 16 kepada Kementerian Pendidikan.

Tegasnya, situasi tersebut tidak seharusnya berlaku dan ia memberi gambaran tidak baik kepada kerajaan.