KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man membuat permohonan maaf di Dewan Rakyat susulan ucapannya mengenai titah perasmian istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 disediakan kerajaan.

Timbalan Presiden Pas itu berkata, satu pertemuan bersama Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul telah dilakukan bagi memberi penjelasan mengenai perkara itu.

“Saya telah mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan (Johari) dan saya telah memberi penjelasan tentang beberapa kekhilafan yang berlaku.

“Saya fikir perkara ini tidak perlu dipanjangkan kerana kita banyak isu-isu penting (untuk dibahaskan). Jadi sekiranya timbul kekhilafan, saya mohon maaf dan (Dewan) teruskan agenda yang lebih penting untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Sidang Dewan Rakyat | Tuan Ibrahim mohon maaf


Ketika perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada 21 Februari lalu, Tuan Ibrahim mendakwa, titah perasmian oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah disediakan kerajaan sebelum diluluskan dalam Kabinet ekoran tidak memasukkan mengenai nilai keadilan sebagai prinsip utama Malaysia MADANI.

Ucapan beliau itu menarik perhatian RSN Rayer (PH-Jelutong) yang bangun mencelah dengan membangkitkan mengenai Peraturan Dewan 36 (6) bahawa ucapan itu membuat sangkaan jahat.

Sementara itu Johari berkata, beliau telah memanggil bekas Menteri Alam Sekitar dan Air itu setelah mendapat permohonan daripada Rayer yang meminta penjelasan perkara itu.

“Saya dah jumpa Kubang Kerian (Tuan Ibrahim) dan pemahaman kita berbeza, namun apa yang telah disebutkan itu telah dimaklumkan kepada saya,” jelasnya. -- Sinar Harian