PUTRAJAYA: DAP hanya berpegang kepada komitmen Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meskipun MCA menggesa agar tidak membantu DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook berkata, Ahmad Zahid telah memberi komitmen yang jelas berhubung perkara tersebut.

"Kami ambil komitmen daripada Pengerusi BN sendiri yang juga Timbalan Perdana Menteri, jadi pandangan lain kita tidak ambil kira," katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-3 Persatuan Pengusaha Institut Memandu (PIM) di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai gesaan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Danial Wa Wai How agar parti itu tidak membantu DAP dalam menghadapi PRN.

Jelas Anthony Loke, kenyataan yang dikeluarkan oleh Wai How tidak mewakili BN.

"Itu hanya Pemuda MCA sahaja," katanya.

Terdahulu Wa Wai mengeluarkan kenyataan agar parti memulaukan PRN selepas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Adam dilapor menggelarkan MCA dan MIC sebagai biawak hidup.

Gabungan UMNO, MCA dan MIC merupakan kerjasama politik tertua di negara ini sejak era Parti Perikatan iaitu 71 tahun. - Sinar Harian