DAP Melaka bergolak lagi, tujuh anggota Jawatankuasa Negeri umum keluar parti

Raffi Bachik
Mac 12, 2017 12:49 MYT
Keputusan untuk keluar parti itu dibuat selepas mendapati parti itu telah jauh menyimpang daripada prinsip "Malaysian Malaysia" yang diperjuangkan selama ini. - Foto Astro AWANI / Raffi Bachik
Tujuh bekas anggota Jawatankuasa DAP Negeri Melaka termasuk 182 anggota akar umbi mengumumkan keluar daripada parti itu hari ini.
Menurut bekas setiausaha DAP Melaka, Liou Chen Kuan keputusan itu dibuat selepas mendapati parti itu telah jauh menyimpang daripada prinsip "Malaysian Malaysia" yang diperjuangkan selama ini.
Enam bekas anggota jawatankuasa negeri yang mengambil langkah yang sama ialah N. Ghandi, Low Chew Lim, Henry Kang, Kenny Tam, Kng Tuan Hock dan Tee Ai Yen.
Kata Liou, mereka turut tidak bersetuju dengan tindakan DAP yang hanya mahu meraih undi bagi mendapatkan kuasa.
Pada masa sama, beliau mendakwa parti itu gagal menghapuskan rasuah dalaman serta dakwaan campur tangan kepimpinan pusat berkaitan hal DAP negeri.
Keputusan yang diputuskan kesemua 182 ahli itu adalah selepas sebulan membuat pertimbangan.
Sementara itu, usaha wakil Astro AWANI Melaka untuk menghubungi Pengerusi DAP negeri dan juga ketua pembangkang, Khoo Pay Tiong bagi mendapatkan penjelasan gagal.
#DAP #keluar parti Melaka #Malaysian Malaysia #pembangkang #politik