MELAKA: DAP merupakan sebuah parti yang sentiasa mendahulukan Malaysia bukannya Cina, Melayu atau India, tegas Lim Guan Eng.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung parti berkenaan berkata, DAP akan bersifat adil pada semua kaum.

DAP juga, jelas Guan Eng, akan meneruskan cita-cita untuk membangunkan negara berlandaskan perpaduan kaum, keharmonian agama, kesaksamaan, sosioekonomi yang adil, demokrasi berparlimen dan kesejahteraan ekonomi untuk semua

“Tidak seperti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mengisytihar beliau Melayu terlebih dahulu, barulah Malaysia,” kata Guan Eng ketika berucap pada Konvensyen DAP, di sini pada Ahad.

Hadir sama pada konvesyen berkenaan ialah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari; Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew.

Guan Eng dalam ucapannya juga berkata, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) menolak pemimpin yang tersasar dari prinsip menjadikan DAP sebuah parti Malaysia.

“DAP bukan parti Cina, India atau Melayu. Kita parti Malaysia dengan wakil rakyat terdiri dari semua etnik termasuk Sabah dan Sarawak.

“Jika DAP menjadi parti Cina atau India, maka DAP tidak ada bezanya dengan Pas. Jawatankuasa tidak akan membenarkan parti menjadi ekstrem seperti Pas yang bergantung pada politik kebencian untuk meraih sokongan dari satu kaum atau kumpulan agama.

“Pas menutup kekurangan dan tadbir urus yang lemah dengan bergantung pada perkauman dan pelampau agama,” dakwa Guan Eng lagi.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan menegaskan, perjuangan DAP sentiasa mengutamakan rakyat berdasarkan prinsip dan dasar yang membawa manfaat kepada negara, serta tidak kemaruk kuasa atau jawatan dalam kerajaan.

Bahkan, kata beliau, disebabkan prinsip itu juga, tiada seorang daripada 42 Ahli Parlimen DAP yang berpaling tadah dan tidak pernah mengkhianati mandat diberikan rakyat pada pilihan raya umum 2018.

“Walaupun DAP parti terbesar dalam Parlimen, kita tidak pernah tamak dan tidak pernah meminta jawatan perdana menteri atau timbalan perdana menteri,” ujar Guan Eng lagi.