Jawatankuasa Pusat DAP (CEC) memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti itu untuk tahun ini.

Keputusan sebulat suara itu dibuat bagi memberi laluan kepada persediaan DAP berdepan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Perkara berkenaan dimaklumkan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook menerusi satu kenyataan.

Menurut Loke, keputusan dicapai dalam mesyuarat CEC lewat malam Isnin.

Jelasnya, di bawah Klausa VIII (1) Perlembagaan Parti, CEC mempunyai kuasa untuk menangguhkan Kongres Parti bagi tempoh tidak lebih 18 bulan.

Ini boleh dilaksanakan sekiranya tarikh Kongres Parti jatuh pada tarikh dua tahun dari tarikh Parlimen dibubarkan mengikut Perkara 55 ( 3 ) Perlembagaan Persekutuan.

"Walaupun tiada pemilihan parti tahun ini, persidangan parti tahunan yang dijadualkan pada 4 Disember depan akan diteruskan," jelas Loke dalam satu kenyataan.

Penggal anggota CEC ketika ini berakhir pada 26 September 2016.