Skip to main content

Politik

DAP tidak terlibat cetuskan krisis di Negeri Sembilan - Loke

Anthony Loke berkata parti itu kini tidak berada dalam pentadbiran kerajaan negeri dan tidak wajar terus dijadikan alasan atau dikaitkan dengan kemelut yang berlaku. - Gambar fail
Anthony Loke berkata parti itu kini tidak berada dalam pentadbiran kerajaan negeri dan tidak wajar terus dijadikan alasan atau dikaitkan dengan kemelut yang berlaku. - Gambar fail

Advertisement

SEREMBAN: DAP tidak pernah terlibat dalam sebarang usaha yang mencetuskan krisis di Negeri Sembilan, sebaliknya kekal fokus memberikan khidmat kepada rakyat, kata Setiausaha Agung Anthony Loke.

Beliau berkata parti itu kini tidak berada dalam pentadbiran kerajaan negeri dan tidak wajar terus dijadikan alasan atau dikaitkan dengan kemelut yang berlaku, termasuk dakwaan DAP menjadi punca krisis berkenaan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

“Seperti yang saya katakan, kita fokus kepada kerja kita. Paling penting, saya pesan kepada wakil rakyat yang dipilih, kekal fokus kepada tugas. Pergolakan di Negeri Sembilan ini macam tidak ada kesudahan.

“Sudah tentu perkara ini isu yang rumit kerana melibatkan pelbagai aspek, ini di luar tugas kita. Apa yang berlaku hari ini bukan disebabkan kita,” katanya selepas menghadiri Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan kali ke-24 di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi DAP negeri J. Arul Kumar.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiada sebab untuk gabungan itu tidak meneruskan pentadbiran seperti biasa.

Beliau berkata titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir supaya Menteri Besar mengemukakan nama baharu bagi mengisi kekosongan jawatan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) turut membuka ruang untuk pentadbiran diteruskan.

“Jadi, sebenarnya tidak ada masalah, mereka boleh memilih orang lain tetapi terpulanglah kepada tindakan mereka, memang sesuatu yang pelik sebuah kerajaan negeri hanya mempunyai seorang Menteri Besar, tiada ahli Exco,” katanya.

Loke berkata ketiadaan ahli Exco ketika ini boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran negeri kerana banyak keputusan dan urusan pentadbiran perlu diluluskan melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Terdahulu, Loke ketika berucap pada konvensyen itu berkata parti berkenaan perlu bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan susulan keadaan politik negeri yang tidak menentu.

Beliau menegaskan DAP perlu memberikan tumpuan kepada usaha memperkukuh parti, mempersiapkan jentera dan meneruskan khidmat kepada rakyat tanpa terlalu memberi perhatian kepada masalah pihak lawan.

Loke turut memuji rekod pentadbiran PH Negeri Sembilan sepanjang tempoh lapan tahun di bawah kepimpinan Aminuddin yang menurutnya tidak dibelenggu sebarang skandal rasuah dan perlu dibanggakan kerana integriti kepimpinan serta pentadbiran diuji ketika mereka memegang kuasa.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berkata PH Negeri Sembilan menyasarkan untuk menambah beberapa kerusi dan merampas semula kerusi Parlimen Tampin pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dalam usaha mengembalikan sokongan rakyat terhadap gabungan itu.

Beliau berkata usaha berkenaan memerlukan komitmen berterusan semua pimpinan dan jentera parti untuk turun padang serta membuktikan keupayaan mereka dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement