KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menyindir Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana "tidak menyempat-nyempat" untuk mengadakan debat bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan isu kewangan Sapura Energy Berhad (SEB).

Isham dalam hantaran di laman Facebook berkata, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu seharusnya menghormati bulan Ramadan, dan memberi laluan untuk melakukan amal ibadah berbanding mengutamakan debat.

"Janganlah tak menyempat-nyempat, Anwar. Tahulah awak baru menang (jawatan) Presiden tanpa bertanding.

"Kurangkan berkepak bulan Ramadan ini," tulisnya dalam hantaran tersebut pada Isnin.


Mengulas lanjut mengenai hasrat PKR mahu menyegerakan sesi debat itu, Isham berkata kem Najib tidak mempunyai sebarang masalah, namun dia berpandangan waktu yang sesuai adalah selepas bulan Ramadan.

"Saya kata, tunggulah dulu sekejap, bulan-bulan puasa ini orang mahu tumpukan kepada ibadat, bukan berdebat.

"Kita tiada masalah kalau Anwar nak berdebat malam ini sekali pun, tetapi hormatilah orang-orang yang berpuasa dan bersolat tarawih beberapa minggu ini sahaja pun.

"Takkan nak mula debat semasa berpuasa atau selepas tarawih dan habis tengah-tengah malam? Lepas habis bulan puasa, kita debatlah sepuas hati," tambahnya.

Sementara itu dalam hantaran hari ini pula, Isham mendakwa penyelaras debat bagi kem Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil telah bersetuju untuk mengadakan debat selepas bulan puasa.

"Saya ada jumpa YB Fahmi Fadzil minggu lepas untuk bincang berkenaan debat Najib-Anwar.

"Dalam perjumpaan itu, dia setuju untuk buat debat selepas raya, dan dia kata minggu kedua atau ketiga pun sesuai.

"Namun semalam dia kata kepada media bahawa dia dan PKR tidak setuju pula debat selepas raya. Apa punya pusing orang PKR ini. Bulan puasa pun nak sembang. Bulan-bulan puasa ini tak baik menipu, YB," sindirnya lagi.


Memetik laporan media, Anwar yang juga Ketua Pembangkang memaklumkan bahawa pihaknya sedang menyelaras dan memperincikan tarikh serta masa untuk mengadakan debat khas bersama Najib.

Fahmi pula seperti dilapor Malaysiakini mengesahkan akan mengadakan pertemuan dengan Isham hari ini bagi menyelesaikan masalah berhubung perdebatan itu.

Pada Isnin, Anwar menyatakan kesediaannya untuk berdepan dan berdebat dengan Ahli Parlimen Pekan mengenai isu kewangan SEB yang merupakan syarikat perkhidmatan medan minyak bersepadu Malaysia.

Kenyataan itu dibuat selepas Najib dilaporkan berkata, bahawa beliau bersedia untuk menerima cabaran debat daripada Rafizi Ramli, tetapi ia perlu turut melibatkan Anwar.

Susulan itu, tiga media terkemuka negara - Sinar Harian, Astro AWANI dan Sin Chew Daily sedia menjalin kerjasama untuk membawakan debat itu kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi pelbagai platform.