Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Deklarasi Mahathir tidak mendapat sambutan rakyat.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata orang Melayu khususnya tidak boleh menerima hakikat bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad sanggup duduk semeja dengan Penasihat DAP Lim Kit Siang, yang menolak Perlembagaan dan hak Bumiputera.

"Menerusi laporan yang diperoleh, Kongres Rakyat yang dianggotai oleh bekas pemimpin-pemimpin tertinggi negara tidak dapat mempengaruhi rakyat.

"Saya difahamkan, maksimum antara 300 dan 500 orang yang hadir dan nampaknya rakyat tidak menyambut baik dan saya percaya rakyat menolak," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pengambilalihan kepentingan Diversatech (M) Sdn Bhd oleh Felcra Berhad di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas perhimpunan Kongres Rakyat pada Ahad lepas di Shah Alam, Selangor yang turut disertai Dr Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Pandan Indah, malam semalam.

Ismail Sabri berharap rakyat tidak mempedulikan isu yang dibawa oleh Dr Mahathir dan pembangkang, sebaliknya menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Rakyat perlu bergerak ke hadapan kerana banyak lagi agenda pembangunan sedang dibawa kerajaan seperti masalah ekonomi dan ringgit jatuh sedang diselesaikan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi anggota MT UMNO Datuk Bung Mokhtar Radin mahu rakyat menilai sendiri perjuangan Dr Mahathir, dengan melihat sejarah silamnya yang pernah 'bergaduh' dengan beberapa pemimpin tertinggi parti.