POLITIK

Desakan Muhyiddin berundur bukan pandangan majoriti Ketua Bahagian Bersatu Perak

Abd Razak Mohd Ali 11/12/2025 | 01:45 MYT
Kenyataan 14 ketua bahagian yang antara lain menyatakan, Zainol Fadzi seharusnya membawa sebarang pandangan, cadangan atau perbezaan pendirian melalui Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Bersatu.
IPOH: Desakan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu, tidak menggambarkan pandangan majoriti ketua bahagian parti itu di Perak.


Ringkasan AI
  • Desakan untuk Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden Bersatu tidak mencerminkan pandangan majoriti ketua bahagian parti di Perak.
  • 14 ketua bahagian Bersatu Perak menegaskan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Bahagian Bersatu Pasir Salak tidak mewakili pandangan kolektif kepimpinan bahagian di negeri itu.
  • Mereka menegaskan sokongan penuh kepada Muhyiddin serta komited untuk mempertahankan kestabilan parti dan bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.


Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan 14 ketua bahagian, mereka mengambil perhatian serius terhadap sidang media yang diadakan Ketua Bahagian Bersatu Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin semalam, yang mendakwa kononnya mewakili 14 ketua bahagian.

Menurut mereka, setelah dibuat semakan, didapati hanya sembilan (daripada 24) Ketua Bahagian terlibat manakala individu lain bukan.

“Oleh yang demikian, kehadiran mereka adalah atas kapasiti peribadi dan tidak boleh dianggap sebagai pendirian kolektif kepimpinan bahagian di Negeri Perak,” kata mereka.

Empat belas ketua bahagian itu ialah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Tambun); Mohader Ahmad Mohammad Ayob (Batu Gajah); Mohammad Iskandar Abdul Rahman (Ipoh Barat); Datuk Azhar Anuar (Bagan Datuk); Dr. Hashim Bujang (Kuala Kangsar); Datuk Muhammad Yadzan Mohammad (Tanjong Malim).

Kader Maideen Hussain (Taiping); Khairul Azuan Mohamed Noor (Lenggong); Mohd Azrien Mohd Salleh (Lumut); Md Nayan Salleh (Parit Buntar); Ahmad Lutpi Abdul Wahab (Sungai Siput); Ruslan Shaari (Gerik); Ahmad Faisal Mansor (Beruas) dan Hishammudin Tajuddin (Parit).

Mereka berpandangan, Zainol Fadzi yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia seharusnya membawa sebarang pandangan, cadangan atau perbezaan pendirian melalui Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Menurut mereka, tindakan membawa isu parti ke ruang awam melalui sidang media terbuka adalah tidak wajar, mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ahli akar umbi dan bercanggah dengan disiplin parti.

“Kami turut berpandangan bahawa tindakan tersebut telah menjejaskan imej parti dan memberi persepsi yang tidak tepat mengenai kestabilan serta kesepaduan kepimpinan Bersatu di Negeri Perak.

“Keadaan ini hanya akan menguntungkan pihak lawan dan melemahkan keyakinan rakyat terhadap parti,” ujar mereka.

Sehubungan itu, mereka menegaskan memberi sokongan penuh yang tidak berbelah bahagi kepada Muhyiddin serta saf kepimpinan dan kekal komited untuk mempertahankan kestabilan parti, memperkukuhkan gerak kerja bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 16.

Semalam, media melaporkan 14 kepimpinan bahagian Bersatu Perak menggesa Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur untuk memberikan laluan kepada proses pembaharuan parti.








#Muhyiddin Yassin #Ahmad Faizal Azumu #Presiden Bersatu #letak jawatan #Ketua Bahagian Bersatu