Dewan Pemuda PAS Negeri (DPPN) Pulau Pinang mengecam tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang menggantung tugas Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim pada Jumaat meskipun beliau mempunyai 'track record' cemerlang sebagai Ahli Majlis.

Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah, dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu susulan ucapan bernada teguran membina dan memberi pandangan untuk menambah baik polisi pembangunan rakyat Pulau Pinang ketika Muktamar PAS yang berlangsung di Johor minggu lepas.

Iszuree ialah Bendahari Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang.

“Hukuman 'gantung tugas' yang dikenakan terhadap beliau berdasarkan laporan media tanpa perbincangan secara bersemuka itu disifatkan sebagai keputusan yang tidak mencerminkan sikap demokratik, berat sebelah dan tergesa-gesa.

“Perlu diingatkan, pelantikan jawatan beliau bukanlah atas kapasiti individu, sebaliknya ia adalah atas kapasiti parti politik mewakili PAS,” kata beliau.

Tambah Mohd Yusni, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) perlu mengambil kira pandangan dan keputusan daripada PAS Pulau Pinang sebelum membuat apa-apa keputusan, jika kerjasama Pakatan Rakyat dihormati.

“Bagi terus memelihara hubungan kerjasama Pakatan Rakyat, DPPN Pulau Pinang menggesa agar tindakan ini ditarik semula seberapa segera, sebelum timbul persepsi awam bahawa pemerintahan Kerajaan PR Pulau Pinang dilihat sama dengan Barisan Nasional dari sudut kebebasan bersuara.

“Sepertimana kami boleh bersabar dengan perbezaan pandangan dan terbuka menerima kritikan, kecaman, cemuhan, sehingga dituduh "pengkhianat di Selangor" dari rakan kami, maka kami juga meminta supaya rakan kami juga dapat berjiwa besar berbuat begitu,” katanya.