KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary yang didakwa menyebut 'DAP kafir' mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen daripada Pas itu sebagai kurang sopan dan biadab kerana DAP juga dianggotai oleh Ahli Parlimen yang beragama Islam.

"Beliau telah mengeluarkan kenyataan... kita semua telah dengar... bahawa DAP adalah kafir. Kita ada Ahli-ahli Parlimen dari Bentong, Bangi dan Bukit Bendera, yang beragama Islam.

"Saya minta Yang Berhormat kalau nak mengkafirkan kami, tidak ada masalah tetapi kata DAP kafir sedangkan Yang Berhormat Bangi, Bukit Bendera dan Bentong merupakan ahli-ahli yang beragama Islam.

"Tolonglah jangan biadab... Saya minta beliau tarik balik kenyataan itu sebab kenyataan DAP kafir ialah kurang sopan dan biadab.

"Kalau saya tak bangun mempertahankan Ahli-ahli Parlimen seperti Bentong, Bangi, Bukit Bendera, yang sama agama Islam dengan Yang Berhormat (siapa lagi nak pertahankan?)," kata RSN Rayer ketika bangkit mencelah pada sesi perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Mendengar penjelasan RSN Rayer, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor kemudian meminta Ahmad Marzuk menarik balik kenyataan beliau.

Begitu pun, Ahmad Marzuk menjelaskan bahawa kenyataan berhubung 'DAP kafir' mengambil contoh kenyataan Mufti Pahang sebelum ini, yang dilapor melabelkan parti itu sebagai 'kafir harbi'.

Jelas beliau, Pas tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, yang menuduh DAP sebagai 'kafir harbi'.

"Saya dengan kepimpinan Pas pada ketika itu sampai keluar televisyen menegaskan tidak setuju dengan dakwaan Mufti Pahang (Datuk Seri Abdul Rahman Osman) itu. Dalam bahasa percakapan ilmu seni bahasa Arab bermaksud: "Kita sebut secara menyeluruh tetapi yang kita maksudkan hanyalah tertentu'.

"Jadi yang saya maksudkan tadi (ialah) Jelutong kafir... Ipoh Timur kafir... Saya sebut umum tapi khusus kepada yang tertentu (bukan semua ahli DAP).

"Kalau itu disalah tafsir, saya tarik balik. Tetapi saya sebut DAP 'kafir harbi' yang didakwa oleh Mufti Pahang, kita tidak setuju kerana ia memberi kesan yang sangat besar," jelas beliau.

Namun demikian, RSN Rayer kemudian bangkit sekali lagi mendakwa Ahmad Marzuk cuba memutar-belitkan kenyataan asal yang dibuatnya.

Berdasarkan semakan rakaman video, Ahmad Marzuk kedengaran menyebut: "Kita tak setuju orang kata DAP ini kafir harbi, walaupun memang kafir".

Pada Jun 2016, media melaporkan Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman dilapor berkata DAP yang jelas menentang pelaksanaan hukum Islam dan berhasrat untuk menubuhkan sebuah negara sekular, tergolong dalam kalangan kafir harbi yang wajib ditentang oleh umat Islam.