Dewan Rakyat kecoh, pembangkang ditegur tuduh PKR ‘parti rasuah’

Che Mohamad Zulkifly mempersoalkan keberkesanan usaha anti-rasuah kerajaan apabila anggota dalam pasukan perdana menteri sendiri terpalit isu rasuah. - Gambar fail?bernama
KUALA LUMPUR: Suasana tegang tercetus di Dewan Rakyat apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang mendakwa PKR serta ahli dalam pasukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terpalit dengan isu rasuah.
Ringkasan AI
- Pertikaian berlaku di Dewan Rakyat apabila Ahli Parlimen pembangkang mendakwa PKR dan ahli dalam pasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dengan isu rasuah.
- Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri susulan dakwaan pembabitannya dalam skandal rasuah dengan seorang ahli perniagaan.
- Keadaan bertambah tegang apabila Ahli Parlimen menyokong dakwaan tersebut dan menggelar PKR sebagai "parti rasuah," tetapi dipertikaikan oleh Ahli Parlimen yang lain yang menegaskan perlunya bukti sebelum membuat tuduhan.
"Ini trend tidak sihat. Perdana menteri sendiri selalu menggunakan istilah sakau dan slogan ‘hapus rasuah’, tapi Setiausaha Politik sendiri terpalit macam-macam masalah,” kata Che Mohamad Zulkifli.
Semalam, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Politik Perdana Menteri susulan dakwaan pembabitannya dalam skandal rasuah dengan seorang ahli perniagaan.
Keadaan bertambah panas apabila Rosol Wahid (PN–Hulu Terengganu) menyokong dakwaan tersebut dan menggelar PKR sebagai “parti rasuah”.
Taufiq Johari (PH–Sungai Petani) segera bangun membantah di bawah Peraturan Mesyuarat 36(6), menegaskan bahawa tuduhan umum terhadap seluruh parti adalah tidak berasas.
"Hulu Terengganu mengatakan PKR ini dalamnya ialah parti rasuah dan disokong pula oleh Besut. Kita tak boleh jadikan seluruh parti itu parti rasuah. Kalaupun ada rasuah berlaku, biarlah dibicarakan dalam mahkamah.
"Dan kenyataan berani yang dikeluarkan YAB Tambun (perdana menteri), pertama menerima peletakan jawatan Setiausaha Politik beliau, dan kedua meminta SPRM menyiasat tanpa ada ganggu gugat kuasa luar,” katanya.
Berikutan kekecohan berterusan, Timbalan Speaker Datuk Ramli Mohd Nor mengarahkan Rosol dan Che Mohamad Zulkifly menarik balik kenyataan tersebut. Kedua-duanya bagaimanapun membantah, namun Ramli menegaskan bahawa sebarang rujukan kepada PKR dalam konteks sedemikian tetap tertakluk kepada larangan membuat tuduhan tanpa bukti.
Ramli turut mengingatkan semua Ahli Parlimen tentang prinsip sub judice, menegaskan bahawa kes yang masih dalam siasatan atau proses mahkamah tidak boleh dibahas secara terbuka di dalam Dewan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


