KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan sekali lagi memohon maaf di atas kenyataan “korup dan salah guna kuasa” yang diungkapkan beliau di Dewan Rakyat pada minggu lepas.

Menurutnya, beliau telah menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf pada 29 Februari lepas, namun sekali lagi berbuat demikian di Dewan Rakyat pada Selasa.

Permohonan maaf itu susulan hasrat kerajaan menggantung beliau selama enam bulan kerana mendakwa Perdana Menteri sebagai seorang pemimpin korup dan menyalahgunakan kuasa.

Tambah Wan Saiful, beliau mengaku mengeluarkan kenyataan tersebut dan turut mengaku bahawa kenyataan itu ditujukan kepada Ahli Parlimen Tambun yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ayat itu memang saya tujukan kepada Yang Berhormat Tambun.

“Jadi, seperti mana saya lakukan pada 28 Februari dan saya ulang sekali lagi pada 29 Februari, apabila ditimbulkan Jelutong (RSN Rayer) saya menarik balik ayat tersebut, menarik balik kenyataan saya dan saya memohon maaf atas kenyataan tersebut.

“Saya dengan rendah diri juga, sebab dalam usul ada sebut mengenai Yang di-Pertuan Agong, atas segala kekhilafan sekiranya menyentuh perihal Yang di-Pertuan Agong.

“Saya juga memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut. Saya harap boleh dipertimbangkan dengan baik oleh Yang Dipertua,” katanya.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudian berkata: “Ini bermaksud Yang Berhormat telah memohon maaf kepada Tambun dan tarik balik kenyataan itu.

“Kedua, Yang Berhormat telah memohon keampunan kepada Duli Yang Maha Mulia kerana telah menyebut…untuk itu saya terima.

“Menteri, saya anggap kita boleh selesaikan masalah ini kerana permohonan maaf telah dibuat secara terbuka dan saya harap menteri boleh menerima keadaan ini," kata Johari.

Ahmad Zahid kemudian bangun dan menarik semula usul berkenaan yang tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

“Saya mohon untuk menarik balik usul nombor satu dalam Urusan Mesyuarat pada hari ini,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sepatutnya membawa usul tersebut pada Selasa.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bangun mencelah untuk menzahirkan penghargaan selain memuji tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam menyelesaikan isu tersebut.

“Tan Sri Yang Dipertua, saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Tan Sri atas tindakan bijaksana dan menyelesaikan isu ini sebaik mungkin.

“Saya rasa rakyat nampak bahawa Ahli Parlimen ini adalah mereka yang bertanggungjawab demi untuk masa depan agama, bangsa dan negara,” ujarnya.