KUALA LUMPUR: Permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan beberapa lagi parti politik yang memohon untuk menyertai Barisan Nasional (BN) masih lagi dalam pertimbangan.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kader memaklumkan permohonan parti terbabit sedang diperhalusi oleh urus setia BN.

“Dewan Tertinggi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada parti-parti tersebut atas minat dan kesediaan mereka untuk bersama-sama dengan BN.

“Kesemua permohonan tersebut sedang diperhalusi oleh pihak urus setia BN,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Tertinggi BN di sini, malam ini.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Pengerusi, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Tan Sri S. Vigneswaran dan Datuk Arthur Joseph Kurup.

Turut hadir wakil MIC, Datuk Seri M. Saravanan, wakil UMNO, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta wakil MCA ,Senator Datuk Dr Mah Hang Soon.

Sebelum ini dilaporkan permohonan PBM yang diketuai oleh Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin akan diputuskan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Isnin.

PBM merupakan sebuah parti pelbagai kaum yang kini mempunyai beberapa ahli parlimen antaranya, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Chong.

Dua bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Haniza Mohamed Talha dan Dr Daroyah Alwi juga turut menyertai PBM yang dulunya dikenali dengan nama Parti Pekerja Sarawak.

Sementara itu, Zambry berkata, Dewan Tertinggi BN juga bersetuju menubuhkan sayap parti yang dikenali Puteri BN dan diketuai Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Selain itu, katanya Dewan Tertinggi BN juga memutuskan untuk menyambung khidmat Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai bendahari selama dua tahun lagi.