MARANG: Pas tidak melatah meskipun ada pihak yang mendakwa menteri ‘cap ayam’ dari parti Islam itu sebagai beban besar kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebaliknya mereka menyerahkan kepada Perdana Menteri dan rakyat bagi menilai hasil prestasi kerja yang dilaksanakan.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, menteri dan timbalan menteri yang dipilih telah melaksanakan kerja mereka sebaik mungkin.

“Penilaian prestasi menteri dinilai oleh Perdana Menteri, bukan orang luar yang tidak ada kena mengena, yang ada kepentingan peribadi.

“Bagi saya yang berhak menilai ini selain daripada rakyat ialah Perdana Menteri, tentang Kabinet dia dan kita pun sentiasa ada pertemuan, pelaporan dan sebagainya.

“Kepada Perdana Menteri, prestasi-prestasi kita Alhamdulillah, kita menteri dan timbalan menteri Pas adakan pertemuan dengan Perdana Menteri untuk berkongsi, tukar pendapat apa yang perkara perlu kita baiki hingga setakat ini Alhamdulilah,” kata Tuan Ibrahim.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Marang di sini, pada Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa menteri Kabinet daripada Pas gagal memikul tanggungjawab dengan baik.

Bekas Ahli Parlimen Pulai itu memberitahu, kelemahan kepimpinan parti berkenaan turut menyebabkan Perdana Menteri dilihat perlu menanggung pelbagai masalah negara.

Dakwa Nur Jazlan, menteri-menteri daripada Pas lebih bergaya dengan kedudukan dan pangkat yang ada, namun tidak kompeten dalam melakukan kerja.