KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) meminta semua Ahli Parlimen membuat laporan polis bagi mengenal pasti individu di sebalik arahan melarang mereka masuk ke Bangunan Parlimen pada Isnin.

Menerusi satu kenyataan, PH berasa amat kesal dengan tindakan mengarah serta memperalat Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menghalang pergerakan Ahli Parlimen semalam.

Tegasnya, tindakan mengugut dan menghalang mereka daripada menjalankan kuasa seorang Ahli Parlimen yang sah di sisi undang-undang sebenarnya melanggar Seksyen 124 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum tujuh tahun penjara atau denda.


“Kami juga amat kesal dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang telah membenarkan pelanggaran perintah Dewan Rakyat kepada Ketua Polis Negara ini berlaku.

“Pada masa yang sama, keputusan Yang Dipertua membenarkan Ahli Parlimen yang merupakan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) masuk ke Parlimen untuk mesyuarat semalam membukti bahawa Yang Dipertua wajib dipertanggungjawab atas arahan yang juga telah menghalang Ahli Parlimen lain daripada memasuki Parlimen.

“Beliau telah gagal melindungi dan mempertahankan hak Ahli Parlimen dan mesti meletakkan jawatan,” memetik kenyataan tersebut.

BACA: Anwar dakwa PN kini tiada majoriti

Kenyataan itu merupakan kenyataan bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Jelas kenyataan itu lagi, Majlis Presiden PH berkata niat mereka hadir ke Parlimen pada Isnin hanyalah untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, ia berasaskan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen perlu membahas dan memutuskan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat.

“Namun sekali lagi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menunjukkan inilah kerajaan yang telah mengingkari titah perintah Seri Paduka Baginda, tidak mengendahkan Parlimen dan melanggar Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.


Parlimen | Ahli Parlimen pembangkang dihalang ke Parlimen

Semalam, beberapa Ahli Parlimen pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka setelah mereka tidak dibenarkan memasuki Bangunan Parlimen pada Isnin.

Mereka kemudiannya berucap di hadapan media selama kira-kira 20 minit sebelum ramai-ramai berarak menuju ke Bangunan Parlimen dari Dataran Merdeka.

Begitupun, langkah mereka terhenti di Bulatan Dato Onn selepas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) menutup laluan tersebut dan tidak membenarkan walau seorang pun Ahli Parlimen melepasi halangan mereka.