KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli dinasihatkan supaya bersara daripada politik selepas pelbagai pihak melabelkan beliau sebagai menteri yang gagal serta liabiliti kepada partinya sendiri.
Aktivis politik, Faizan Mohd Nor berkata, bekas Timbalan Presiden PKR itu turut dikenali sebagai ‘raja formula’ yang gagal, selain mendakwa ramai penyokong Pakatan Harapan (PH) berasa tertipu dengan janji-janji yang dibuat Rafizi sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Advertisement
Dakwanya, ketika memegang jawatan Menteri Ekonomi, pelaksanaan Program Data Utama (PADU) juga disifatkan sebagai gagal, dengan kos melibatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM85.27 juta.
"Adalah lebih baik Rafizi kembali ke dunia korporat berbanding terus terlibat dalam politik yang hanya menyerlahkan lagi kegagalan beliau sebagai ahli politik," dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Faizan turut mendakwa kritikan Rafizi terhadap National Feedlot Corporation (NFC) sebelum ini menyebabkan Malaysia tidak mempunyai ladang ternakan lembu berskala besar dan masih bergantung kepada import dari luar negara.
Sebelum ini, Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Prof Tajuddin Rasdi mendakwa Rafizi sebagai liabiliti kepada PH dan politik negara, manakala Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula menyifatkan beliau sebagai hipokrit.
Pengasas PKR, Lum Yong, turut menyifatkan Rafizi sebagai menteri yang gagal.
Dakwaan itu juga, menurut laporan, disokong oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan yang sebelum ini menyuarakan pandangan sama.