Barisan Nasional (BN) Pahang dijangka meletakkan harapan untuk memenangi kerusi panas parlimen P082 Indera Mahkota di tangan Datuk Dr Johan Mat Sah, Pengerusi Biro Kesihatan, Kebajikan dan NGO Umno Bahagian Indera Mahkota pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurut sumber, Dr Johan yang juga dikenali penduduk setempat sebagai Dr Rakyat kerana sering menawarkan rawatan percuma kepada mereka yang memerlukan di kawasan Indera Mahkota, bakal bersaing dengan dua nama besar politik peringkat nasional iaitu Nasruddin Hassan dari Pas dan Datuk Saifuddin Abdullah yang mewakili PKR.


Pertembungan tiga penjuru yang dijangka berlaku di Indera Mahkota ini dikatakan bakal melanda seluruh negeri Pahang apabila Pas sebelum ini mengumumkan akan bertanding di setiap kerusi parlimen dan 40 kerusi dewan undangan negeri (DUN) Pahang.

Ketua Penerangan Pas, Nasruddin yang merupakan mantan ahli parlimen P088 Temerloh itu mengalahkan bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Saifuddin pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan 1,071 undi.



Pertembungan sengit itu menjadikan Indera Mahkota antara kawasan yang harus diikuti menjelang PRU14 nanti.

Menurut laporan awal, Nasruddin dikatakan terpaksa meninggalkan parlimen Temerloh yang mempunyai lebih 70,000 pengundi kerana sentimen masyarakat tempatan yang menolak kepimpinannya.

Ketua Pemuda Umno Temerloh, Azril Rizal Yusof Mohd Sarit berkata masyarakat setempat merungut kerana ahli parlimen mereka jarang turun ke kawasan tersebut dan gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya kepada pengundi.

Temerloh juga bakal menyaksikan pertembungan sengit diantara tiga parti utama—Umno, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diikuti dengan pencalonan beberapa calon yang bertanding di atas kerusi bebas, termasuk bekas wartawan, Khaidir Ahmad.

Pada Sabtu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mengumumkan akan mempertahankan kerusi DUN Pelangai kerana yakin bahawa masyarakat di Pahang masih mempunyai kepercayaan kepada wajah-wajah pemimpin BN sedia ada di negeri tersebut.


Jelasnya, BN Pahang bakal membariskan calon-calon lama kecuali di tiga kawasan iaitu kerusi parlimen Paya Besar dan kerusi-kerusi DUN Lepar dan Pulau Tawar.

Di Pelangai, Adnan dijangka bakal berdepan dengan dua pesara guru, Zaharim Osman yang mewakili Pas dan Norhaizan Abu Hassan yang mewakili Parti Amanah Negara (Amanah).

Sementara itu, kerusi negeri Tanjung Lumpur yang dikenali sebagai kubu kuat Pas dijangka bakal dipertahankan Pesuruhjaya Pas negeri Pahang Rosli Abdul Jabbar yang berkemungkinan berhadapan dengan calon wanita Amanah, Sabrina Md Yusoff.

Parlimen Kuantan yang kini disandang Fuziah Salleh dari PKR pula dijangka akan dicabar Pas menerusi calon Timbalan Yang Di-Pertua Kuantan, Sulaiman Mat Derus dan BN pula dijangka akan mengenengahkan calon dari MCA kerana Kuantan merupakan kerusi tradisi parti komponen tersebut.


Dijangka Sulaiman bakal memberi saingan yang amat sengit kerana pada PRU13 yang lalu, kekuatan jentera Pas disebut sebagai faktor utama kemenangan PKR di ibu negeri Pahang itu.

Sementara itu kerusi parlimen Bentong yang disandang Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pula dijangka akan bergantung kepada kesetiaan pengundi Melayu, terutama dari Dun Pelangai, bagi menentukan keputusannya samada memihak kepada BN atau Pakatan Harapan (PH).


Pada PRU-13 yang lalu, Pelangai merupakan satu-satunya kerusi negeri yang berjaya dipertahankan BN di atas faktor Adnan, yang juga merupakan Pengerusi BN negeri, sementara tiga lagi kerusi negeri Bentong - Biliut, Ketari dan Sabai dimenangi oleh PH.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi PRU14 pada 9 Mei; penamaan calon pada 28 April manakala pengundian awal pada 5 Mei.