Dua Ahli Parlimen, lima ADUN tewas dalam pemilihan DAP P. Pinang

Bernama
Mac 21, 2021 20:06 MYT
Sejumlah 1,608 undi diberikan kepada 44 calon yang bertanding dan hanya 15 calon yang mendapat undi tertinggi dipilih menduduki jawatankuasa negeri.
GEORGE TOWN: Anak mendiang Karpal Singh, Ramkarpal Singh dan Ketua Wanita Pakatan Harapan Pusat, Chong Eng tewas dalam pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang bagi penggal 2021-2024.
Dalam keputusan yang diumumkan oleh Ketua Pengawas Pemilihan Wong May Ing, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal hanya mendapat 575 undi manakala Chong, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang mendapat 417 undi.
Sejumlah 1,608 undi telah diberikan kepada 44 calon yang bertanding dan hanya 15 calon yang mendapat undi tertinggi dipilih menduduki jawatankuasa negeri manakala lima lantikan tambahan dibuat Jawatankuasa Tertinggi selepas pemilihan tersebut.
Bagaimanapun, Ramkarpal turut terpilih pada lantikan lima tambahan tersebut.
Selain Ramkarpal, Ahli Parlimen yang turut tewas dalam pemilihan semalam Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto manakala seramai empat lagi ADUN ialah Gooi Zi Sen (Pengkalan Kota), Heng Lee Lee (Berapit), Lim Siew Khim (Sungai Pinang) dan M. Satees (Bagan Dalam) juga tewas.
Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berjaya mempertahankan jawatannya sebagai pengerusi DAP yang telah disandang sejak tahun 1999 dengan meraih jumlah undi tertinggi iaitu 1,211.
"Saya berharap semua yang dipilih akan berkerja keras dan membantu parti perangi tiga krisis iaitu krisis kesihatan, ekonomi dan krisis politik untuk memenangi undi rakyat," katanya.
Pasangan adik beradik yang dipilih ialah Phee Boon Poh dan adiknya Boon Chee selain adik perempuan kepada setiausaha agung parti pusat Lim Guan Eng, Lim Hui Ying turut kekal dalam jawatankuasa negeri.
JAWATANKUASA DAP NEGERI BAGI PENGGAL 2021-2024
PENGERUSI: Chow Kon Yeow
TIMBALAN PENGERUSI: Dr P. Ramasamy
NAIB PENGERUSI: Zairil Khir Johari
NAIB PENGERUSI: Jagdeep Singh Deo
SETIAUSAHA: Lim Hui Ying
PENOLONG SETIAUSAHA: Lim Siew Khim (lantikan)
BENDAHARI: Wong Hon Wai
PENOLONG BENDAHARI: Soon Lip Chee
SETIAUSAHA ORGANISASI: H'ng Mooi Lye
PENOLONG SETIAUSAHA ORGANISASI: Lay Hock Peng
PENOLONG SETIAUSAHA ORGANISASI: Yeoh Soon Hin
SETIAUSAHA PUBLISITI: Sim Chee Keong
PENOLONG SETIAUSAHA PUBLISITI: Syerleena Abdul Rashid (lantikan)
PENGARAH PENDIDIKAN POLITIK: Teh Lai Heng
AHLI JAWATANKUASA: Phee Boon Poh, Phee Boon Chee, RSN Rayer, Ramkarpal Singh (lantikan), Heng Lee Lee (lantikan dan Chong Eng (lantikan).
-- BERNAMA
#pemilihan DAP Pulau Pinang #DAP #pulau pinang #ahli Parlimen #ADUN #Ramkarpal Singh #Chong Eng #Jawatankuasa DAP Pulau Pinang #lantikan #undi #Chow Kon Yeow #Pengerusi DAP Pulau Pinang