POLITIK
DUN Negeri Sembilan lulus usul pemilihan Jufitri dan Wu sebagai ahli Dewan Negara

Pemilihan dua calon tersebut bertujuan membawa suara Negeri Sembilan ke peringkat nasional di samping mencerminkan pendekatan politik Kerajaan Perpaduan yang progresif dan matang di negeri ini. - Gambar/ FB Dato' Seri Utama Haji Aminuddin Harun
SEREMBAN: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini meluluskan usul bagi memilih Dr Jufitri Joha (PKR) dan Datuk Wu Him Ven (DAP) sebagai Ahli Dewan Negara mewakili negeri itu.
Ringkasan AI
- DUN Negeri Sembilan meluluskan pelantikan Dr Jufitri Joha (PKR) dan Datuk Wu Him Ven (DAP) sebagai Ahli Dewan Negara, menggantikan dua senator yang tamat tempoh perkhidmatan.
- Pelantikan ini mencerminkan semangat Kerajaan Perpaduan yang inklusif dan progresif, dengan harapan kedua-dua wakil membawa suara negeri ke peringkat nasional secara berkesan.
- Sidang DUN turut meluluskan RUU Penerimaan Pemakaian Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 bagi memperkukuh penguatkuasaan dan pengurusan hutan simpan kekal di Semenanjung Malaysia.
"Pelantikan ini menghormati semangat kebersamaan politik di negeri ini. Saya percaya calon ini mewakili kepelbagaian rakyat Negeri Sembilan selain mencerminkan Kerajaan Perpaduan yang seimbang serta inklusif," katanya.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Chennah Anthony Loke, yang turut bersetuju dengan pandangan tersebut berkata kerjasama politik di negeri ini menjadi model gabungan yang baik tanpa dominasi dalam sebarang jawatan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata semangat kerjasama itu rakyat demi memastikan kesejahteraan rakyat serta ekonomi di negeri terus berkembang maju.
"Saya harap kedua-dua calon ini nanti akan berusaha membawa insipirasi dan suara negeri ke peringkat Dewan Negara, walaupun berbeza parti tetapi kepentingan negeri perlu diutamakan," katanya.
Jufitri, 46, merupakan ketua cabang PKR Rembau dan pernah memegang jawatan Presiden Majlis Belia Malaysia pada 2018-2022, selain aktif dalam Federasi Kebangsaan Pekerja Belia bagi mempromosikan kerja belia profesional serta membantu menubuhkan Majlis Belia Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mengangkat suara dan kepimpinan belia golongan tersebut.
Wu, 61, pula merupakan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP yang aktif dalam perkhidmatan sosial antaranya terlibat dalam program demokrasi belia di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis pada 2003-2022 serta menyelaras bantuan banjir DAP di Pantai Timur pada 2014 dan 2021.
Dalam pada itu sidang dewan turut meluluskan Rang Undang-Undang Penerimaan Pemakaian Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Akta A1667) bertujuan bagi menambah baik dan menetapkan kawasan hutan simpan kekal di Semenanjung Malaysia.
Aminuddin merangkap ADUN Sikamat berkata ia juga bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan hutan serta memperkukuhkan sektor perhutanan seiring dengan perkembangan semasa.
"Secara umumnya pindaan akta ini memberikan penekanan kepada aspek seperti memperketatkan proses pewartaan keluar masuk, penggantian hutan simpan kekal, meningkatkan kadar denda serta penalti tambahan bagi membendung kesalahan hutan yang boleh merosakkan alam sekitar," katanya.
Beliau berkata antara lain ia bertujuan menetapkan penguatkuasaan perhutanan hingga ke peringkat pengkompaunan, mengatasi isu kekaburan kuasa yang tidak jelas dalam pelaksanaan penguatkuasaan operasi perhutanan.
Persidangan DUN ditangguhkan dan bersambung pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami